Aidilftri memperkasa wahdatul ummah

ARKIB Utusan Malaysia : 14/09/2010
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

AIDILFITRI adalah hari umat Islam menyambut kemenangan menumpaskan godaan nafsu serakah dan menjernihkan jiwa dari noda dan dosa.

Rata-rata umat Islam menyambut dan merayakan Aidilfitri dengan gema alunan takbir membesarkan Allah dan tahlil mentauhidkan-Nya.

Inilah fenomena Aidilfitri yang kita lalui dan rayakan saban tahun. Namun, apakah kita sedar, mutakhir ini telah banyak musibah yang menimpa umat Islam?

Penghinaan dan sendaan terhadap rasul junjungan kita, Nabi Muhammad SAW, penindasan yang semakin berleluasa ke atas umat Islam, penodaan terhadap syiar-syiar umat Islam, penghinaan terhadap agama Islam, bencana, mala petaka, penganiayaan, keruntuhan moral dan kebejatan akhlak yang semakin berleluasa, kesesatan yang menyesatkan akidah umat Islam dan yang paling menyedihkan perpecahan yang makin melarat sesama umat Islam.

Setelah umat Islam diratah, dihina, dicemuh, dipersenda dan diperkosa, apakah yang masih tinggal di sisi umat Islam? Apakah masih ada perayaan yang layak dirayakan?

Sesungguhnya banyak perkara yang perlu kita renungi bersama pada hari-hari Syawal ini. Banyak perkara yang perlu kita ambil pengajaran dan perhatian untuk difikirkan bersama.

Sambutan Aidilfitri perlu diberikan pendekatan dan pengertian yang lebih bermakna kerana Aidilfitri yang sebenarnya bukan sekadar disambut dengan takbir dan tahlil yang dialunkan oleh lidah-lidah dan tangisan kerana ketiadaan insan tersayang.

Aidilfitri yang sebenar, perlu disambut dengan penghayatan, keinsafan dan kegembiraan bersama sebagai umat yang satu.

Tambah menyedihkan, kita bersungguh-sungguh mengisi dan menyuburkan Ramadan dengan pelbagai ibadah lahir puasa, solat, zikir, selawat, tilawah al-Quran dan sebagainya, tetapi kita lupa menyuburkan Ramadan dengan ibadah hati yang tulus dan suci.

Kita meniti Ramadan dengan hati yang penuh kegersangan dan kekaratan. Maka lahirlah amalan-amalan yang pada zahirnya nampak indah dan cantik tetapi pada hakikatnya menambah jauh hubungan kita dengan Tuhan Rabbul ‘Izzah kerana gersang dari ketulusan kepada Allah.

Tanpa sedar, kita beramal dalam keadaan tertipu dengan merasakan amalan yang kita lakukan diterima oleh Allah. Kita berlumba-lumba mengadakan majlis berbuka puasa yang sepatutnya menambah erat silaturrahim sesama umat Islam tetapi sebaliknya menambah keserakahan hati dan permusuhan di kalangan umat Islam.

Akhirnya Ramadan kali ini, gersang dari perasaan cinta dan kasih Saiduna Muhammad Sayid al-Akwan SAW, sepi dari kesetiaan dan kejujuran Saiduna Abu Bakar al-Siddiq r.a, jauh dari jati diri dan keberanian Saiduna Umar al-Faruq r.a, tipis dari sifat malu dan dermawan Saiduna Uthman Zu al-Nurain r.a, jahil dari ilmu dan makrifah Saiduna Ali al-Karrar Karramallahu Wajhah, pupus daripada tautan hati dan ithar golongan Muhajirin dan Ansar.

Jauh daripada ketabahan dan tawakal perjuangan ahli Badar r.a, sayup daripada pengorbanan dan kemurahan Abdur Rahman ibn Auf r.a, tandus dengan kezuhudan dan kewarakan Umar ibn Abdul Aziz r.a, kering daripada titisan air mata dan kecintaan Rabi’ah r.a, sempit dari sikap berlapang dada dan tawakal Ibrahim ibn Adham r.a dan gelap dari sinaran cahaya akhlak dan keperibadian nabi SAW.

Bagaikan pandangan yang kabur dan kelabu dek debu-debu yang terampai di ruang udara, begitulah kelabu dan kaburnya Ramadan dek tangan-tangan dan hati-hati yang berdebu dan penuh kotoran.

Melihat kepada apa yang telah kita lakukan sebenarnya, apakah layak untuk kita bergembira pada hari ini?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: