Larangan membunuh tanpa asas

July 28, 2010

ARKIB Utusan Malaysia : 27/07/2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Membunuh sesama insan adalah dilarang oleh Islam – gambar hiasan


Tindakan membunuh sesama Islam tanpa alasan yang benar adalah peristiwa hitam yang terjadi dalam sejarah Islam dari zaman ke zaman. Dewasa ini ia muncul dengan tajuk keganasan, terorisme atau militanisme yang dikaitkan dengan agama Islam.

Ia menjadi suatu isu besar yang turut mempengaruhi imej dan hubungan Islam dan agama-agama lain. Walaupun kita faham tidak semua label pengganas benar tetapi kita juga tidak dapat menafikan memang ada dalam kalangan penganut Islam, mereka yang bertindak ganas di luar kerangka hukum Islam.

Dalam memperjuangkan apa yang mereka rasa benar, mereka boleh sampai menghalalkan darah sesama Islam dan mengisytiharkan jihad perang tanpa hak terhadap mereka yang tidak sealiran.

Menyedari bahaya ini, Al-Allamah Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki dalam kitab Mafahim Yajib An Tusohhah menyambung perbahasan isu takfir dengan larangan mencaci dan membunuh sesama Islam.

Beliau menegaskan bahawa membenci, memutuskan hubungan dan memusuhi kaum Muslimin itu adalah haram. Mencaci seseorang Muslim adalah suatu kefasikan dan membunuhnya tanpa alasan yang benar, adalah suatu kekufuran apabila dia menghalalkan perbuatan tersebut.

Sebagai bukti tegahan dalam permasalahan ini, memadailah diingat hadis melibatkan Khalid ibn al Walid r.a ketika diutuskan kepada kaum Bani Jazimah untuk mengajak mereka kepada Islam. Apabila beliau sampai, mereka pun menemuinya.

Lalu Khalid r.a berkata kepada mereka: “Masuklah kalian ke dalam Islam!” Mereka menjawab: “Kami adalah kaum Muslimin”. Khalid ibn Walid berkata, “(Jika begitu) letakkanlah senjata kalian dan turunlah (dari bukit itu)”. Mereka menjawab, “Tidak! Demi Allah, tidak ada sesuatu yang terjadi setelah meletakkan pedang, melainkan pembunuhan. Kami masih belum berasa aman denganmu dan orang-orang yang bersamamu.”

Khalid berkata dengan tegas: “Tidak ada keamanan bagi kalian kecuali jika kalian turun (dari bukit itu).”

Setelah mendengar ancaman itu, sebahagian mereka pun turun manakala sebahagian yang lain berpecah.

Dalam riwayat lain disebutkan bahawa, ketika Khalid sampai kepada kaum Jazimah, mereka menyambutnya dengan baik.

Lalu Khalid r.a berkata: “Siapakah kalian? Sudah Muslim, atau masih kafir?”

Mereka menjawab: “Kami adalah Muslimin. Kami telah mendirikan solat, kami juga membenarkan kenabian Nabi Muhammad SAW, kami telah membangunkan beberapa buah masjid di halaman rumah kami, dan melaungkan azan di dalamnya.”

Dalam satu lafaz, mereka tidak mengatakan, Aslamna (kami telah masuk Islam), tetapi menyebut Soba’naa! Soba’naa! (Kami telah meninggalkan agama kami dahulu, kami telah meninggalkannya)”.

Kemudian Khalid berkata kepada mereka: “Mengapa kalian masih menyandang pedang?”

Mereka menjawab: “Sesungguhnya di antara kami dan sebahagian orang-orang Arab ada permusuhan. Kami takut, jikalau kalian adalah mereka. Maka kami pun tetap menyandang pedang.”

Khalid r.a berkata: “(Sekarang) letaklah pedang kalian.” Mereka akhirnya meletakkan senjata.

Kemudian Khalid berkata kepada angkatan tenteranya: “Tawanlah mereka”. Maka sebahagiannya ditawan, sebahagian lagi diikat dan kemudian dibahagi-bahagikan di antara sahabat-sahabatnya.

Advertisements

Jangan mudah mengkafirkan

July 21, 2010

ARKIB Utusan Malaysia : 20/07/2010

Jangan mudah mengkafirkan

DI dalam kitab Mafahim (Kefahaman-kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan) Al-Allamah Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki telah memperjelaskan fahaman tentang pelbagai isu agama yang menjadi pertikaian oleh sebahagian orang seperti tabarruk, tawassul, ziarah kubur dan seumpamanya.

Ada yang sampai ke tahap menuduh syirik dan mengkafirkan sesama Islam kerana isu-isu ini. Oleh itu pengarang kitab ini memulakan tulisannya dengan memperbetulkan semula kefahaman dalam hal menghukum kafir sesama Islam.

Beliau menegaskan bahawa, ramai orang telah salah faham – semoga Allah SWT memperbaiki dan menunjukkan mereka jalan yang benar – tentang sebab-sebab sebenar yang mengakibatkan seseorang itu terkeluar daripada Islam dan wajib dihukum sebagai kafir.

Mereka kelihatan begitu mudah dan terburu-buru menghukum kafir ke atas saudara seagama hanya kerana wujudnya percanggahan pendapat dengan mereka, hinggakan hanya sedikit sahaja kaum Muslimin yang berbaki di muka bumi ini.

Walau bagaimanapun, kita memandang sikap keterlaluan mereka dengan baik sangka. Kemungkinan, niat mereka baik – demi menjaga kemurnian ajaran Islam daripada perbuatan syirik melalui konsep amar makruf dan nahi mungkar.

Namun, mereka lupa, amar makruf dan nahi mungkar perlu kepada sikap berhikmah (bijaksana) dan peringatan yang baik. Jika ada yang perlu didebatkan sekalipun, haruslah dilakukan dengan cara terbaik, sebagaimana firman Allah SWT: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad!) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. (al-Nahl: 125)

Cara ini lebih mudah diterima dan menghasilkan apa yang diharapkan. Adapun menyanggahi cara ini, merupakan suatu kesilapan dan kebodohan.

Oleh itu, apabila kamu mengajak seseorang Muslim yang mendirikan solat, melaksanakan apa yang difardukan oleh Allah SWT, menjauhi segala yang diharamkan-Nya, menyebarluaskan dakwah Islam dan aktif memakmurkan masjid kepada perkara-perkara yang pada pandangan kamu adalah benar, tetapi pandangannya berbeza dengan pandangan kamu, dan pandangan ulama mengenainya masih belum disepakati sejak dahulu hingga sekarang.

Maka dia enggan menurut pandangan kamu, lalu kamu melemparkan tuduhan “kafir” kepadanya hanya kerana beberapa perbezaan pendapat, maka sebenarnya kamu telah melakukan sebesar-besar kemungkaran dan perbuatan yang dilarang keras oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Maka kamu diseru supaya melaksanakannya dengan jalan yang berhikmah dan baik.

Al-Allamah al-Imam Sayyid Ahmad Masyhur al-Haddad RA mengatakan, “Sesungguhnya telah ditetapkan oleh ijmak ulama larangan mengkafirkan seseorang ahli Kiblat; kecuali jika dia mengingkari Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa, atau melakukan perbuatan syirik secara terang-terangan yang tidak perlu lagi diandaikan takwilannya, atau mengingkari kenabian Nabi Muhammad SAW, atau mengingkari sesuatu yang telah pasti kebenarannya dalam agama, atau mengingkari suatu masalah atau hadis mutawatir (yang telah pasti kesahihannya), atau pun sesuatu yang telah disepakati oleh ulama.”

Dalam ajaran Islam, ilmu agama yang diketahui secara pasti (kebenarannya) itu; seperti masalah tauhid, kenabian, sempurnanya risalah dengan perutusan Nabi Muhammad SAW, kebangkitan semula pada hari Kiamat, hisab, pembalasan pada hari Kiamat, syurga dan neraka. Jika seorang Muslim mengingkari hal-hal seperti itu, maka dia dinilai sebagai kafir. Tiada keuzuran bagi setiap Muslim untuk tidak mengetahui perkara-perkara asas seperti itu, melainkan bagi orang-orang yang baru memeluk agama Islam. Mereka dimaafkan sehinggalah mereka mempelajarinya, dan selepas itu mereka tidak boleh dimaafkan lagi jika mengingkarinya.

Manakala hadis mutawatir ialah khabar atau hadis yang diriwayatkan oleh sejumlah perawi yang dipercayai dan tidak mungkin melakukan pembohongan, yang (diterima) daripada sejumlah perawi seperti mereka; baik dari aspek isnad (rangkaian orang yang meriwayatkannya) mahu pun tabaqat (ramainya bilangan perawi).

Adapun isnad, seperti hadis: “Sesiapa yang melakukan pembohongan ke atasku, maka dia menyiapkan tempat duduknya di dalam neraka.”

Manakala dari aspek tabaqat (mutawatir pada setiap peringkat) seperti mutawatir-nya al-Quran. Al-Quran itu mutawatir tanpa ada had; baik di timur mahupun di barat; dalam mempelajari, membaca, mahupun menghafaznya, yang diterima dan diriwayatkan daripada sekelompok yang banyak kepada kelompok yang banyak, daripada satu generasi kepada generasi yang lain. (Oleh kerana terlalu ramai perawinya sehingga tidak terkira), maka al-Quran tidak memerlukan kepada isnad.

Kadang kala, mutawatir itu berlaku pada amalan dan pewarisan; seperti amalan sesuatu semenjak zaman Nabi Muhammad SAW sampai sekarang, diamalkan dan dipraktikkan, serta tiada sesiapa yang mengingkarinya (khususnya ulama).

Kadang kala, terjadi mutawatir dari segi ilmu seperti mutawatirnya mukjizat Nabi Muhammad SAW. Meskipun sebahagiannya ada yang diriwayatkan secara ahad (individu), tetapi secara umumnya ia dapat dinilai mutawatir dengan ilmu pengetahuan setiap Muslim.

Sesungguhnya menghukum seseorang Muslim itu kafir bukan pada perkara-perkara yang telah kami terangkan di atas, adalah suatu yang amat bahaya. Dalam hadis, Rasulullah SAW menegaskan: Jika seseorang berkata kepada saudaranya, “Wahai kafir!” Maka kekafiran itu akan kembali (menimpa) kepada salah seorang di antara keduanya. (riwayat Imam al Bukhari daripada Abu Hurairah RA)

Kesimpulannya, pengarang kitab ini benar-benar mengingatkan kita, supaya berhati-hati daripada sembarangan melabel orang lain sebagai kafir bukan pada tempat-tempat atau perkara-perkara yang telah dijelaskan sebelum ini, kerana perbuatan seperti itu mengandungi bahaya yang amat besar. Hanya Allah SAW sahajalah yang dapat menunjukkan jalan yang lurus, dan hanya kepada-Nya kita semua akan dikembalikan.

Panel Penyelidikan Yayasan Sofa


Memahami Israk dan Mikraj

July 13, 2010

Utusan Malaysia 13/6/2010

Yayasan Sofa Negeri Sembilan

Kefarduan solat yang dianugerahkan kepada Nabi Muhammad SAW pada peristiwa Israk Mikraj. – Gambar hiasan


SEPERTI yang telah kita mukadimahkan pada minggu lepas, untuk beberapa waktu kita akan memanfaatkan ruangan ini untuk menggali mutiara-mutiara hikmah daripada kitab Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman-kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan) tulisan al-Allamah al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki.

Oleh kerana kita sedang melalui bulan-bulan dan hari-hari yang istimewa dalam Islam, eloklah kita meneliti beberapa isi buku ini yang bertujuan memperbetulkan kefahaman kita tentang perbuatan menyambut hari-hari kebesaran dalam Islam.

Kita sedang berada dalam ‘musim’ Israk dan Mikraj. Kefahaman dan sikap masyarakat dalam melalui hari-hari ini memang berbeza malah mungkin juga bercanggah. Ada yang langsung tidak menyedari datang dan perginya 27 Rejab kerana terlampau sibuk dan kurang peka pula pada perjalanan kalendar Islam.

Tidak kurang yang menyambut kedatangannya dengan penuh gembira dan bersemangat dengan mengadakan pelbagai majlis sambutan. Ada pula yang mempertikaikan kewajaran menyambutnya, seperti mana mereka menolak sambutan hari-hari kebesaran Islam yang lain.

Di akhir-akhir kitab Mafahim ini, pengarangnya ada menyentuh isu sambutan hari-hari kebesaran Islam. Di situ beliau berkongsi keyakinannya tentang kesepakatan ulama bahawa perbuatan ini jika dianggap sebagai suatu adat dan tradisi untuk menghimpunkan orang ramai bagi mendekatkan diri dengan agama tanpa dianggap sebagai suatu pensyariatan khusus adalah suatu amalan yang terpuji dan tidak bercanggah dengan mana-mana usul agama.

Beliau menghuraikan lagi, “Bagi saya, memanfaatkan peluang berkumpul bersama umat Islam dengan berdoa, bertawajjuh kepada Allah SWT, menagih limpahan anugerah, kebaikan dan keberkatan daripada-Nya adalah lebih besar daripada faedah hanya mengingati atau mengenang peristiwa tersebut.

Menggunakan kesempatan berkumpul bersama orang ramai dengan memberikan peringatan, petunjuk, nasihat dan dorongan kepada mereka ke arah kebaikan, adalah lebih utama daripada menegah, menolak dan mengingkari perkumpulan mereka dengan alasan yang tidak mendatangkan sebarang faedah.

Apa yang dapat disaksikan, penolakan dan pengingkaran mereka itu tidak memberikan apa-apa faedah dan manfaat. Setiap kali bertambah kuat pengingkaran dan penolakan terhadap perbuatan mereka, semakin bertambah kuat pula penerimaan mereka dan semakin tegas pegangan mereka terhadapnya hinggakan seolah-olah orang yang melarang perbuatan mereka merupakan pendorong dan penggalak untuk mereka melakukannya tanpa disedari.

Para cendekiawan dari kalangan ahli fikir dan pendakwah sangat berkeinginan untuk mendapatkan sebuah tempat mengumpulkan orang ramai bagi menyebarkan pandangan-pandangan mereka dan mengajak untuk menyertai barisan mereka.

Oleh kerana itulah, kamu dapat lihat, mereka selalu datang ke taman, kelab dan tempat-tempat umum yang biasa terdapat banyak perkumpulan orang untuk melakukan apa yang mereka ingin lakukan. Kami lihat, umat Islam sering berkumpul di dalam majlis-majlis bersempena hari kebesaran Islam dengan penuh minat, keazaman dan kesungguhan. Justeru, apakah yang wajib kita lakukan terhadap mereka?

Sesungguhnya menyibukkan diri dengan kerja-kerja mengingkari dan menolak hukum perkumpulan mereka dan sebagainya adalah sia-sia sahaja, bahkan merupakan suatu kebodohan dan kejahilan. Ini kerana, kita hanya mensia-siakan peluang besar dan melenyapkan kesempatan yang tidak mungkin menjadi baik sesuatu masa dengannya, kecuali dalam kesempatan seperti ini. Justeru, manfaatkanlah perhimpunan besar ini.” (H. 961-963, edisi terjemahan Yayasan Sofa)

Sikap yang disarankan oleh pengarang kitab ini adalah lebih selamat dan selari dengan sangka baik terhadap Islam dan umatnya berbanding sikap menentang atau membidaahkannya. Beliau turut menulis khusus tentang keistimewaan Israk dan Mikraj bertajuk al-Anwar al-Bahiyyah min Isra’ wa Mi’raj Khayr al-Bariyyah (edisi terjemahannya ada dikeluarkan oleh murid kanannya di Malaysia, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan).

Buku ini menyarankan agar menggunakan semaksima mungkin peringatan terhadap Israk dan Mikraj itu untuk meningkatkan makrifah dan kasih terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya. Apakah ada perkara yang lebih baik bagi kita selain daripada itu? Dan betapa banyakkah rahsia-rahsia agung dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang berpotensi membantu kita menggapainya.

Berkongsi keriangan dan kenangan manis Israk dan Miraj dengan insan yang paling kita kasihi ini terlebih wajar kita amalkan apabila mengenang bahawa anugerah Allah SWT kepada Baginda SAW juga adalah kurniaan bagi kita sebagai umatnya. Kefarduan solat yang dianugerahkan kepada Nabi pada malam tersebut juga adalah bagi kita dan merupakan keizinan untuk kita umat Muhammad SAW untuk turut berhubung dan berbicara dengan Allah SWT pada setiap hari.

Kemuliaan dan keutamaan Nabi SAW di sisi Allah SWT yang terzahir di malam itu tidaklah terbatas kepada diri Baginda SAW malah melimpah kepada kita umatnya sehingga kita dinobatkan sebagai umat yang paling mulia dan akan lebih dahulu memasuki pintu Syurga berbanding umat Nabi-nabi yang lain. Allahu akbar wa lillahil hamd!

Menginsafi betapa banyaknya faedah, rahsia, cahaya dan hikmah di sebalik sambutan hari-hari kebesaran Islam seumpama Israk dan Mikraj ini, tidak hairanlah jika Allah SWT sendiri telah menyenaraikannya sebagai antara tugas utama pengutusan para Rasul seperti yang tergambar dalam firman-Nya dalam surah Ibrahim ayat 5.

Semoga kita semua tersenarai di kalangan mereka yang benar-benar menunaikan hak peristiwa yang agung ini.


Kefahaman yang wajib diperbetulkan

July 12, 2010
Arkib Utusan Malaysia 6/6/2010
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

KEFAHAMAN dan ilmu yang ada di dalam diri seseorang dan menjadi pegangannya adalah faktor utama yang menentukan keperibadiannya dan kehidupannya. Jika kotak minda dan lubuk hatinya dipenuhi oleh kefahaman yang benar lagi mulia maka orang tersebut akan muncul sebagai peribadi yang besar dan mulia. Sebaliknya, jika kefahaman yang salah, sempit lagi menyeleweng yang bersarang dalam dirinya, maka sukarlah ia muncul sebagai individu yang membawa kebaikan dan kesejahteraan.

Begitu jugalah keadaannya dengan kefahaman agama. Bukan semua kefahaman agama yang tersebar dan dipegang itu betul dan benar. Itulah yang mendorong para ulama yang mewarisi tugas para nabi untuk gigih memperbetulkan kefahaman agama umat Islam melalui lisan dan tulisan mereka.

Alhamdulillah, dengan kurniaan Allah SWT, di zaman yang mutakhir ini, telah muncul suatu karya yang hebat hasil tulisan seorang tokoh ulama yang hebat berkenaan dengan tema ini yang dapat kita jadikan rujukan dan panduan.

Karya yang dimaksudkan adalah kitab Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan), tulisan al-Allamah al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki. Isi kitab inilah yang akan kami olahkan sebagai pengisian ruang ini dalam minggu-minggu akan datang.

Buku ini merupakan antara karya beliau yang paling dikenali dan tersebar luas. Keistimewaan dan keutamaan buku ini terbukti dengan puluhan mukadimah perakuan dan pengiktirafan oleh para ulama dunia Islam yang diterima oleh buku ini.

Di antara tokoh ulama yang telah menulis mukadimah memuji buku ini termasuklah; Syeikh Hasanain Makhluf, mantan Mufti Mesir, Syeikh Prof. Dr. Muhammad al-Toyyib al-Najjar, al-Allamah al-Muhaddith Syeikh Abdullah bin Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari dan Syeikhal-Allamah al-Mu’arrikh Syeikh Muhammad al-Khazraji. Apa yang menarik, para ulama ini mencakupi pelbagai pelosok dunia Islam termasuklah benua India-Pakistan dan Asia.

Ini tidaklah menghairankan jika mengambil kira bahawa pengarangnya memang seorang yang telah luas perjalanannya ke seluruh dunia Islam baik ketika menuntut ilmu mahupun ketika berdakwah dan mengajar.

Rata-ratanya, kitab ini dianggap istimewa dan mustahak walaupun ia tidaklah terlalu tebal kerana ia telah berjaya memperbetulkan kekeliruan dan salah faham terhadap pelbagai isu dalaman agama yang agak rumit. Sebahagian isu ini sering ditimbulkan oleh kalangan umat Islam sendiri di tengah masyarakat sehingga boleh menimbulkan perselisihan dan merosakkan keharmonian sesama Islam.

Oleh kerana ia adalah isu-isu agama yang khusus dan ilmiah, masyarakat awam yang sering diheret untuk membahaskannya, mudah tersilap langkah dalam menanggapinya. Mereka mungkin mudah terikut dengan hujah dan pandangan sebelah pihak sahaja kerana tidak mampu untuk menimbangkan secara lebih mendalam dan meluas. Justeru, buku ini begitu penting untuk memenuhi ruang kosong ini.

Dengan meneliti isi buku ini pembacanya akan mampu membentuk kefahaman yang lebih tepat dan saksama terhadap pelbagai isu agama yang diperselisihkan di kalangan ulama ataupun umat.

Buku ini dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu; Perbahasan isu-isu akidah, Nabi dan pelbagai isu agama rencam. Dalam Bab Akidah, antara isu dibahaskan adalah isu takfir, bidaah, tawassul dan syafaat. Bab Nabawiyyah atau ehwal berkaitan Nabi SAW pula mencakupi isu-isu keistimewaan Nabi dan bertabarruk (mengambil berkat) serta persoalan berkaitannya. Bab ketiga mengandungi pelbagai perbahasan tanpa tema khusus termasuklah isu kehidupan alam barzakh dan menziarahi kubur dan kesan tinggalan serta sambutan hari-hari kebesaran Islam. Sedar ataupun tidak, isu-isu ini sering timbul dan ditimbulkan dari masa ke semasa.

Marilah kita bersama di minggu seterusnya, berkongsi warisan para ulama pewaris Nabi SAW dengan kita menelaah beberapa isi perbahasan dalam kitab ini. Semoga dengannya dapatlah kita memperbetulkan beberapa kefahaman agama kita yang memang wajib diperbetulkan.


Tasauf hakiki dan penyelewengan

July 1, 2010
Arkib Utusan Malaysia 29/6/2010
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

ORANG yang mati syahid di medan perang adalah antara tiga golongan yang Rasulullah SAW menceritakan, orang yang terawal dihisab di Akhirat kelak. – Gambar hiasan


SEDAR atau tidak sudah masuk minggu ke sembilan kita berbicara tentang tasauf di ruang ini. Dalam siri terakhir ini kita akan cuba menyorot beberapa fahaman dan ajaran yang menyeleweng yang dinisbahkan kepada tasauf selain cuba merumuskan pandangan kita tentang tasauf.

Walaupun dalam siri tulisan yang lepas kita telah cuba mempertahankan tasauf sebagai cabang dan dimensi asasi kepada agama kita, kumpulan dan ajaran tasauf yang sesat atau menyeleweng daripada batasan agama sebenar.

Pepatah Melayu menyebut, “bumi manakah yang tak ditimpa hujan”? Adakah wujud di sana, mana-mana kumpulan atau aliran sama ada bersifat agama atau tidak, yang terpelihara sepenuhnya daripada sebarang penyelewengan?

Cuma, harus difahami, dalam paksi-paksi ajaran agama Islam iaitu akidah, syariah dan tasauf, penyelewengan yang berlaku bukannya berpunca daripada kelemahan ajaran tersebut tetapi kerana kelemahan mereka yang cuba mengamalkan dan menghayatinya.

Di samping kelemahan jenis ini yang benar-benar berlaku, tasauf turut cuba ditempelkan dengan pelbagai gambaran kelemahan palsu oleh kelompok yang anti-Islam atau anti-tasauf.

Tuduhan-tuduhan liar

Selain penyelewengan sebenar yang timbul akibat kelemahan para pengamalnya, tasauf dan tarekat turut menjadi sasaran pelbagai tuduhan dan kempen memburuk-buruknya daripada mereka yang memusuhinya dari dalam dan luar lingkungan Islam.

Para kuffar memusuhinya kerana mereka memang anti atau jahil dengan Islam. Sebahagian mereka juga menyerangnya kerana tahu bahawa inilah antara pusat kekuatan Islam. Mereka tahu daripada kajian dan sejarah bahawa tasauf turut menjadi inspirasi jihad menentang musuh-musuh Islam.

Tasauf juga menjadi sasaran beberapa aliran pinggiran dalam Islam yang melihat dan tarekat sebagai saingan dan penghalang untuk mereka menjadi lebih dominan dalam masyarakat seperti aliran ekstrem liberal juga aliran ekstrem modernis.

Pendokong ekstrem liberal memang suka kepada Islam yang serba bebas dan tidak terikat dengan ikatan-ikatan termasuklah ikatan-ikatan syariat, akidah dan tasauf.

Kelompok ekstrem modenis umumnya cuba mengajak umat membebaskan diri daripada mengikuti warisan khazanah ilmu-ilmu tradisional Islam termasuklah dalam tasauf. Mereka sering bercakap atas nama pembaharuan agama, tajdid, pembebasan daripada taklid dan kejumudan, kembali kepada al-Quran, sunnah dan sebagainya.

Ancaman terhadap tasauf daripada kelompok ekstrem modenis ini lebih berbahaya. Sebabnya mereka berbahasa dan berpakaian agama sehingga masyarakat awam mudah terkeliru. Hakikatnya, dalam mereka mengajak masyarakat tidak bertaklid kepada khazanah tradisi Islam mereka sebenarnya menjerumuskan masyarakat kepada suatu taklid yang lebih sempit iaitu bertaqlid kepada tokoh-tokoh dan aliran mereka.

Akhirnya masyarakat diajak mengikuti beberapa kerat tokoh yang mereka sanjung secara berlebihan terutamanya Ibnu Taymiyyah, Ibnu al-Qayyim dan kemudiannya Muhammad Ibn Abdul Wahhab dan para pendokong nya. Pandangan Ibnu Taymiyyah dan Ibnu Al-Qayyim yang mengkritik tasauf mereka angkat tanpa menonjolkan sisi lain yang tidak menyebelahi kecenderungan mereka.

Sebenarnya Ibnu Taymiyyah dan Ibnu al-Qayyim menghalakan kritikan mereka terhadap beberapa kumpulan pengamal tasauf pada zaman mereka dan bukannya terhadap tasauf itu sendiri. Mereka tidaklah menafikan tasauf sebagai cabang penting dan disiplin ilmu asasi dalam agama.

Buktinya Ibnu Taymiyyah sendiri menganggap dirinya sebagai seorang pengikut tarekat Qadiriyyah. Makam beliau di Damaskus, Syria juga merupakan kawasan makam yang diwakafkan khusus untuk para Sufi. Jilid sepuluh dan sebelas daripada himpunan fatwanya juga menghuraikan tasauf.

Murid beliau Ibnu al-Qayyim pula menulis kitab Madarij al-Salikin dalam tiga jilid yang merupakan huraian kepada kitab Manazil al-Saa’irin karya Imam al-Harawi berkaitan dengan makam-makam dalam perjalanan rohani kesufian.

Kesimpulannya, dua tokoh ulama kontroversial ini pun tidaklah terlalu menolak atau anti-tasauf seperti sikap segolongan mereka yang sering menjuarakan tokoh-tokoh ini.

Sesudah kita membahaskan dan memperjelaskan tentang tasauf dan pelbagai persoalan yang timbul berkaitannya hanya satu kesimpulan yang paling sesuai dibuat iaitu marilah kita semua kembali kepada tasauf.

Kita kembali menghargai dan mengenali tasauf sebagai cabang dan dimensi asasi daripada agama kita yang kita cintai ini. Kita kembali memahami kedudukannya yang sangat harmonis dengan syariat, akidah dan semua prinsip dan ajaran Islam yang lain.

Paling penting, marilah kita sama-sama menghayatinya dalam kehidupan kita agar agama kita benar-benar terselamat daripada virus-virus dalaman yang boleh menghancurkan kehidupan beragama kita tanpa kita sedari.

Hakikatnya, ketakwaan itu berpengkalan di hati, seperti pesanan Nabi SAW. Jika agama dan ketakwaan itu sudah tewas di pangkalannya sendiri apakah ia dapat ditegakkan di tempat dan tahap yang lain?

Akhirnya, dibawakan hadis yang menjadi antara induk dalam memahami kedudukan tasauf dan sering dipetik untuk tujuan itu. Imam Muslim dalam Sahihnya meriwayatkan, Rasulullah SAW ada menceritakan tentang tiga orang yang terawal dihisab di Akhirat kelak. Seorang yang mati syahid di medan perang, seorang ulama yang mengajar ilmu agama dan al-Quran dan seorang hartawan yang dermawan di jalan agama.

Akhirnya ketiga-tiga mereka diseret di atas muka masing-masing dan dihumban ke neraka kerana kegagalan mereka menjaga keikhlasan, mensucikan niat dan hati masing-masing dalam kehebatan berjuang di jalan Allah.

Semoga Allah SWT mengurniakan keikhlasan dan mensucikan hati-hati kita dari segala yang tidak disukai-Nya.