Wasitoh berunsur syirik

September 22, 2010

ARKIB Utusan Malaysia : 21/09/2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Beramal semata-mata kerana Allah SWT, itulah yang dituntut. – Gambar hiasan


PADA minggu ini kita akan membincangkan tentang perbuatan mengambil perantara ataupun orang tengah dalam hubungan dengan Allah. Perkataan yang sering digunakan untuk isu ini ialah wasitoh (juga dieja wasitah). Ramai orang salah faham dalam memahami maksud sebenar wasitoh.

Mereka menjatuhkan hukum secara sembarangan bahawa semua wasitoh itu membawa kesyirikan dan sesiapa yang menggunakan wasitoh dengan apa jua cara sekalipun, maka dia telah melakukan kesyirikan terhadap Allah.

Mereka meletakkan kedudukan orang yang berwasitoh sama seperti kaum musyrikin yang mengatakan: Kami tidak menyembah atau memujanya (berhala) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah dengan sedamping-dampingnya. (al-Zumar: 3)

Inilah ayat yang sering digunakan oleh para penentang terhadap wasitoh dan konsep yang seumpamanya seperti tawassul (mengambil wasilah) dan tasyaffu’ (memohon syafaat).

Perkataan ini sebenarnya tertolak dan kerana mereka memahami ayat tersebut bukan pada tempatnya. Ini kerana ayat di atas dengan jelas menolak perbuatan kaum musyrikin yang menyembah berhala dan menjadikannya sebagai tuhan sembahan mereka selain Allah SWT.

Bahkan, mereka juga menyekutukan Allah dari aspek rububiyyah (kuasa mentadbir dan mencipta) seraya mengaku bahawa penyembahan yang mereka lakukan bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan sedekat-dekatnya.

Maka, kekufuran dan kemusyrikan mereka dilihat dari sudut penyembahan mereka terhadap berhala-berhala itu dan turut disertai dengan i’tiqad mereka bahawa berhala tersebut adalah tuhan Arbab (Pentadbir-pentadbir alam) selain Allah SWT.

Dari sini terdapat suatu masalah penting yang perlu dijelaskan. Ayat tersebut membuktikan orang-orang musyrik tersebut tidak bersungguh-sungguh pada dakwaan mereka menyembah Allah SWT, sebagaimana yang dikisahkan di dalam al-Quran berkenaan dengan penyembahan mereka terhadap berhala: Kami tidak menyembah atau memujanya (berhala) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah dengan sedamping-dampingnya. (al-Zumar: 3)

Jika kenyataan mereka adalah benar dan jujur, pasti mereka akan menganggap bahawa Allah lebih agung di sisi mereka daripada berhala-berhala dan mereka tidak akan menyembah selain Allah. Tetapi, mengapa mereka menyembah selain Allah? Allah SWT juga melarang kaum Muslimin daripada menghina berhala-berhala yang mereka sembah itu melalui firman-Nya: Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan mereka kembali, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan. (al-An’ aam: 108)

Diriwayatkan oleh Abdur Razzaq, Abd ibnu Humaid, Ibnu Jarir, Ibnu Munzir, Ibnu Abi Hatim dan Abu al Syeikh, daripada Qatadah RA, berkata: “Dahulu, umat Islam pernah memaki berhala-berhala milik orang-orang kafir, maka orang-orang kafir itu pun mencela Allah SWT. Maka Allah menurunkan ayat di atas.

Inilah sebabnya ayat tersebut diturunkan. Dengan tegas, orang-orang Mukmin dilarang mencela dan merendah-rendahkan batu-batu yang disembah oleh kaum penyembah berhala di Mekah. Perbuatan tersebut hanya akan menimbulkan kemarahan mereka dan mereka pasti akan membela tuhan-tuhan yang mereka yakini melalui hati yang tuli bahawa tuhan-tuhan itulah yang berkuasa memberikan manfaat dan menolak kemudaratan.

Apabila mereka marah, mereka akan membalas sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Muslimin. Maka mereka akan mencela Tuhan umat Islam, iaitu Tuhan Semesta Alam dan akan melemparkan bermacam-macam perkataan yang merendah-rendahkan Allah SWT, sedangkan Allah itu suci daripada segala kekurangan.

Jika mereka benar-benar jujur bahawa penyembahan mereka terhadap berhala-berhala itu hanya untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah, sudah pasti mereka tidak akan berani memaki Allah sebagai membalas dendam terhadap orang yang memaki sembahan-sembahan mereka.

Maka dengan ini, amat jelas, bahawa Allah dianggap lebih kecil dan lebih rendah pada diri kaum musyrikin daripada batu-batu yang mereka sembah itu!

Daripada sikap yang sedemikian, Abu Sufyan pernah mengatakan sebelum memeluk agama Islam: Tinggikan tuhan Hubal. (riwayat Bukhari) Abu Sufyan menyeru tuhannya yang bernama Hubal supaya ia ditinggikan dan dapat menguasai Tuhan Pentadbir langit dan bumi (Allah) agar dia dan juga tenteranya dapat mengalahkan tentera Islam yang mahu mengalahkan dan menghancurkan tuhan-tuhan mereka. Beginilah keyakinan dan pendirian mereka yang sebenar terhadap berhala-berhala mereka dan terhadap Allah, Tuhan Yang Mentadbir semesta alam.

Kesimpulannya, jika kita ingin bersikap secara adil, ilmiah dan objektif terhadap isu ini, kita harus memahami benar-benar bezanya wasitoh yang berbentuk syirik seperti yang dilakukan oleh para kafir musyrik penyembah berhala dan wasitoh yang tidak berunsur syirik yang ada tempatnya dalam kerangka Islam.

Insya-Allah, dalam minggu hadapan kita akan menghuraikan pula tentang wasitoh jenis kedua ini.

Advertisements

Aidilftri memperkasa wahdatul ummah

September 22, 2010
ARKIB Utusan Malaysia : 14/09/2010
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

AIDILFITRI adalah hari umat Islam menyambut kemenangan menumpaskan godaan nafsu serakah dan menjernihkan jiwa dari noda dan dosa.

Rata-rata umat Islam menyambut dan merayakan Aidilfitri dengan gema alunan takbir membesarkan Allah dan tahlil mentauhidkan-Nya.

Inilah fenomena Aidilfitri yang kita lalui dan rayakan saban tahun. Namun, apakah kita sedar, mutakhir ini telah banyak musibah yang menimpa umat Islam?

Penghinaan dan sendaan terhadap rasul junjungan kita, Nabi Muhammad SAW, penindasan yang semakin berleluasa ke atas umat Islam, penodaan terhadap syiar-syiar umat Islam, penghinaan terhadap agama Islam, bencana, mala petaka, penganiayaan, keruntuhan moral dan kebejatan akhlak yang semakin berleluasa, kesesatan yang menyesatkan akidah umat Islam dan yang paling menyedihkan perpecahan yang makin melarat sesama umat Islam.

Setelah umat Islam diratah, dihina, dicemuh, dipersenda dan diperkosa, apakah yang masih tinggal di sisi umat Islam? Apakah masih ada perayaan yang layak dirayakan?

Sesungguhnya banyak perkara yang perlu kita renungi bersama pada hari-hari Syawal ini. Banyak perkara yang perlu kita ambil pengajaran dan perhatian untuk difikirkan bersama.

Sambutan Aidilfitri perlu diberikan pendekatan dan pengertian yang lebih bermakna kerana Aidilfitri yang sebenarnya bukan sekadar disambut dengan takbir dan tahlil yang dialunkan oleh lidah-lidah dan tangisan kerana ketiadaan insan tersayang.

Aidilfitri yang sebenar, perlu disambut dengan penghayatan, keinsafan dan kegembiraan bersama sebagai umat yang satu.

Tambah menyedihkan, kita bersungguh-sungguh mengisi dan menyuburkan Ramadan dengan pelbagai ibadah lahir puasa, solat, zikir, selawat, tilawah al-Quran dan sebagainya, tetapi kita lupa menyuburkan Ramadan dengan ibadah hati yang tulus dan suci.

Kita meniti Ramadan dengan hati yang penuh kegersangan dan kekaratan. Maka lahirlah amalan-amalan yang pada zahirnya nampak indah dan cantik tetapi pada hakikatnya menambah jauh hubungan kita dengan Tuhan Rabbul ‘Izzah kerana gersang dari ketulusan kepada Allah.

Tanpa sedar, kita beramal dalam keadaan tertipu dengan merasakan amalan yang kita lakukan diterima oleh Allah. Kita berlumba-lumba mengadakan majlis berbuka puasa yang sepatutnya menambah erat silaturrahim sesama umat Islam tetapi sebaliknya menambah keserakahan hati dan permusuhan di kalangan umat Islam.

Akhirnya Ramadan kali ini, gersang dari perasaan cinta dan kasih Saiduna Muhammad Sayid al-Akwan SAW, sepi dari kesetiaan dan kejujuran Saiduna Abu Bakar al-Siddiq r.a, jauh dari jati diri dan keberanian Saiduna Umar al-Faruq r.a, tipis dari sifat malu dan dermawan Saiduna Uthman Zu al-Nurain r.a, jahil dari ilmu dan makrifah Saiduna Ali al-Karrar Karramallahu Wajhah, pupus daripada tautan hati dan ithar golongan Muhajirin dan Ansar.

Jauh daripada ketabahan dan tawakal perjuangan ahli Badar r.a, sayup daripada pengorbanan dan kemurahan Abdur Rahman ibn Auf r.a, tandus dengan kezuhudan dan kewarakan Umar ibn Abdul Aziz r.a, kering daripada titisan air mata dan kecintaan Rabi’ah r.a, sempit dari sikap berlapang dada dan tawakal Ibrahim ibn Adham r.a dan gelap dari sinaran cahaya akhlak dan keperibadian nabi SAW.

Bagaikan pandangan yang kabur dan kelabu dek debu-debu yang terampai di ruang udara, begitulah kelabu dan kaburnya Ramadan dek tangan-tangan dan hati-hati yang berdebu dan penuh kotoran.

Melihat kepada apa yang telah kita lakukan sebenarnya, apakah layak untuk kita bergembira pada hari ini?


Bagaimana sahabat mengagungkan Nabi

September 10, 2010

ARKIB Utusan Malaysia : 07/09/2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

DALAM kesempatan yang lalu, kita telah memetik perbahasan tentang ta’zhim (mengagungkan) dalam Islam dan membezakannya dengan perbuatan menyembah.

Maka kita sudah memahami bahawa tidak semua semua perbuatan memuliakan dan mengagungkan seseorang itu seperti dalam bentuk memanggil dengan gelaran saidina atau maulana, mengangkat sembah, mencium tangan dan seumpamanya itu membawa kesyirikan jika niatnya sekadar ta’zhim.

Cuma, sebagai seorang muslim dan mukmin yang tahu nilai hak dan batil, sudah tentu kita tidak bebas memuliakan sesiapa sahaja tanpa asas yang jelas.

Di dalam hadis qudsi, kita diberi amaran bahawa: “sesiapa yang masuk menemui seorang yang kaya lalu merendahkan dirinya di hadapan orang itu (semata-mata) kerana kekayaan hartanya, maka hilangnya satu pertiga daripada agamanya (al-Mawa’idh, Imam al-Ghazali).

Masalahnya, hari ini ada segelintir golongan yang mempertikaikan perbuatan menta’zhim orang yang memang patut dimuliakan termasuklah junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW.

Ada yang menyalahkan perbuatan memakaikan gelaran Saiduna kepada baginda SAW, meremehkan perbuatan memuliakan keturunan baginda SAW mahupun para ulama pewaris hakiki baginda, sambutan maulid dan seumpamanya.

Sedangkan tiada siapa yang mengingkari bahawa jika ada di kalangan makhluk Allah SWT yang paling patut diagungkan dan disanjung maka Nabilah makhluk tersebut.

Maka marilah kita melihat teladan generasi manusia terbaik yang telah mendapat pujian dan pengiktirafan daripada Allah SWT dan rasul-Nya dalam hal menta’zhimkan Nabi SAW.

Sesungguhnya merekalah generasi yang paling faham Islam dan iman serta paling peka dalam persoalan kufur, syirik, bidaah dan khurafat berbanding generasi yang datang kemudian.

Sebagai gambaran awal, mari kita renungkan sikap dalaman seorang sahabat terkenal Amru ibn al ‘As r.a dalam hal ini.

Beliau berkata: “Tidak ada seorang pun yang lebih aku cintai daripada Rasulullah SAW. Tidak ada seorang pun yang lebih agung pada pandanganku daripadanya. Aku tidak mampu memenuhi pandangan mataku dengan sifat-sifatnya, kerana mengagungkannya. Seandainya aku diminta untuk menggambarkan peribadi baginda SAW, pasti aku tidak akan mampu kerana aku tidak dapat memenuhi pandangan mataku dengan kehebatannya. (Riwayat Muslim dalam Sahihnya, kitab al-Iman).”


Usah campur aduk ta’zhim, penyembahan

September 2, 2010

ARKIB Utusan Malaysia : 31/08/2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

menziarahi makam nabi di Masjid Nabawi adalah antara cara memuliakan baginda SAW. – Gambar hiasan


KITA masih meneruskan kembara ilmu menelusuri dan mengutip mutiara-mutiara hikmah daripada kitab Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan) karya agung tokoh besar ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah zaman ini, al-Allamah al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad ‘Alawi al-Maliki.

Mereka yang mengetahui kelebihan karya ini sangat menghargainya kerana sumbangannya dalam memperbetul dan mentajdid semula fahaman-fahaman terhadap isu-isu yang boleh menjerumuskan umat dalam kancah persengketaan sesama sendiri.

Menjauhi permusuhan dan perpecahan sesama Islam adalah ibadah dan kewajipan yang utama. Ia harus direbut oleh setiap umat Islam tanpa mengira bulan, zaman atau tempat.

Dalam siri kali ini, sesudah menyentuh beberapa premis asas yang menjadi sebab salah-faham dalam memahami bahasa wahyu, pengarang terjun langsung menangani salah satu isu utama yang boleh menjadi punca pertikaian iaitu beza antara perbuatan ta’zhim (mengagungkan) dan menyembah.

Ramai salah faham tentang hakikat ta’zhim (mengagungkan atau membesarkan) dan hakikat ibadah (penyembahan). Mereka dengan jelas telah mencampuradukkan antara kedua-duanya dan menganggap apa jua bentuk ta’zhim adalah suatu penyembahan kepada yang diagungkan.

Justeru, perbuatan berdiri bagi menghormati orang yang mulia, mencium tangan, membesarkan baginda SAW dengan menyematkan gelaran Sayyid dan Mawlana, berdiri di hadapan Nabi SAW ketika menziarahinya dengan adab-adab yang baik, penuh hormat dan merendah diri semuanya ini dianggap ghuluw (berlebih-lebihan dan melampau) di sisi mereka, hingga kononnya membawa kepada penyembahan kepada selain Allah SWT.

Hakikatnya, anggapan seperti itu adalah suatu kejahilan dan kesilapan. Bahkan Allah dan Rasul-Nya tidak reda terhadapnya dan ia tidak sejalan dengan roh syariat Islam.

Kita sedia maklum, Nabi Adam a.s adalah insan dan hamba Allah yang soleh yang pertama daripada jenis manusia. Allah SWT memerintahkan para malaikat sujud kepadanya sebagai memulia dan membesarkan ilmunya. Ia sebagai pemberitahuan kepada mereka, bahawa Allah telah memilih Adam a.s menjadi nabi daripada sekelian makhluk-Nya.

Firman Allah SWT: Dan (ingatlah peristiwa) tatkala Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu semua kepada Adam”, maka mereka sujud melainkan iblis. Ia berkata, “Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah yang diadun?” Ia berkata lagi: “Khabarlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan lebih daripadaku?” (al-Israk: 61-62)

Para malaikat patuh sujud mengagungkan insan yang diagungkan oleh Allah SWT, sementara iblis takbur dan enggan sujud kepada makhluk yang diciptakan daripada tanah.

Iblislah makhluk pertama yang mengqiaskan agama dengan pendapatnya, ketika ia berkata: “Aku lebih baik daripadanya”.

Alasan iblis, dia diciptakan daripada api, sedangkan Nabi Adam dicipta daripada tanah.

Akibatnya, iblis diusir dan dihalau jauh daripada rahmat Allah SWT kerana sikap sombong dan takburnya terhadap hamba yang soleh.

Pada hakikatnya, sikap takbur itu merupakan kesombongan terhadap Allah kerana sujud yang diarahkan itu sebenarnya kepada Allah, sebagai mengikut perintah-Nya.

Contoh lain berkaitan Nabi Yusuf a.s, Allah SWT berfirman: Dan dia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu, mereka (saudara-saudara Yusuf) sekeliannya sujud memberi hormat kepada Yusuf. (Yusuf: 100)

Sujud hormat ini adalah suatu penghormatan, penghargaan, kemuliaan dan ta’zhim terhadap Nabi Yusuf a.s. Kemungkinan ia diharuskan dalam syariat mereka. Atau pun, boleh jadi sujud mereka itu seperti sujud para malaikat kepada Nabi Adam a.s sebagai penghormatan dan pengagungan, serta pelaksanaan terhadap perintah Allah SWT.

Sujud lazimnya dikaitkan dengan penyembahan, tetapi seperti yang kita lihat dalam contoh-contoh ini, al-Quran menegaskan perbuatan sujud sekalipun tidak semestinya bererti menyembah dan sebaliknya boleh berbentuk memuliakan dan mengagungkan.

Mesejnya di sini adalah mengagungkan tidak semestinya menyembah, kalaupun sujud sesama makhluk dilarang dalam syariat Nabi Muhammad SAW.