Larangan mengada-adakan dalam urusan agama

October 27, 2010

Arkib Utusan Malaysia : 26/10/2010

 

PERLU diingat, sesungguhnya orang yang berbicara mengenai bidaah ini ialah Nabi Muhammad SAW yang bijaksana. Lidahnya adalah lidah syarak. Maka perlu difahami kalamnya menurut timbangan syarak yang dibawanya.

Inilah perkara yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW supaya dihindari sebagaimana sabdanya: “Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan agama kami ini sesuatu yang bukan berasal daripadanya, maka perbuatan itu ditolak”.

Jadi, batasan pemisah dalam perkara ini ialah sabda Rasulullah SAW: (dalam urusan agama kami ini).

Atas dasar itu, maka pembahagian bidaah kepada bidaah hasanah dan sayyi’ah menurut pemahaman kami hanyalah pembahagian menurut etimologis atau lughawi (bahasa).

Sebenarnya yang dikategorikan sebagai bidaah hasanah itu bukanlah bidaah hakiki. Ia sekadar suatu ciptaan dan perkara baru yang tidak bercanggah dengan syarak.

Kita semua tidak merasa ragu, bahawa istilah bidaah dengan pengertian syarak adalah sesuatu yang menyesatkan, fitnah yang tercela, ditolak dan dimurkai.

Jika mereka yang mengingkari pendapat kami dapat memahami makna ini, nescaya akan terlihatlah bagi mereka bahawa titik penyatuan semakin hampir, manakala medan pertelingkahan dan pertentangan semakin jauh.

Untuk lebih mendekatkan lagi kefahaman-kefahaman ini, kami berpandangan bahawa orang yang mengingkari pembahagian bidaah ini, hanya mengingkari pembahagian bidaah syariyyah berdalilkan perbuatan mereka membahagikan bidaah kepada bidaah diniyyah dan bidaah dunyawiyyah.

Sementara itu, orang yang membahagikan bidaah kepada bidaah hasanah dan bidaah sayyi’ah pula berpandangan ia ini hanya berdasarkan bidaah lughawi, kerana mereka juga tetap berpendirian: “Sesungguhnya penambahan dalam agama dan syariat Islam itu merupakan suatu kesesatan dan kejahatan yang besar.

Dengan demikian, perbezaan yang terjadi antara umat Islam berkenaan dengan permasalahan bidaah itu hanya dalam permasalahan syak atau bentuk luaran, bukan persoalan asas (dalaman).

Sebenarnya saudara-saudara kita yang mengingkari pembahagian bidaah kepada hasanah dan sayyi’ah, dan mengatakan pembahagiannya kepada diniyyah dan dunyawiyyah, telah tidak cermat dan tidak teliti dalam mengungkapkan apa yang mereka fahami dan yakini.

Ketika mereka menghukum bahawa bidaah diniyyah (dalam urusan agama itu) itu adalah sesat – ini sememangnya benar – dan bidaah dunyawiyyah (dalam urusan dunia) itu tidak apa-apa, sebenarnya mereka telah melakukan kesalahan dalam menetapkan hukum, kerana dengan demikian bererti mereka telah menghukum semua bidaah dalam urusan dunia adalah harus.

Sepatutnya mereka mengatakan: “Sesungguhnya bidaah dunyawiyyah itu ada yang baik dan ada pula yang buruk.” Sebagaimana realiti kehidupan yang dapat disaksikan dan tidak akan diingkari oleh sesiapapun, kecuali oleh mereka yang buta dan jahil.

Penambahan ini amat perlu demi maksud yang lebih tepat. Maka selarilah dan cukuplah kita mengikut pendapat yang mengatakan, bidaah itu terbahagi kepada hasanah dan sayyi’ah.

Kita juga telah sedia maklum, bahawa yang dimaksudkan dengan pembahagian ini pun hanya daripada sudut bahasa dan ia juga telah dianggap oleh orang yang mengingkarinya sebagai bidaah dunyawiyyah.

Pendapat ini mengajak kepada sikap berhati-hati dalam memberi tindakbalas terhadap setiap urusan (duniawi) yang baru, juga menyelaraskannya dengan hukum syariat Islam dan kaedah-kaedah agama.

Semoga Allah SWT melimpahkan keredaan-Nya kepada ulama usul fiqh yang telah merumus dan menulis lafaz-lafaz yang sahih, komprehensif dan memenuhi tuntutan makna yang selamat, tanpa ada kekurangan, penyimpangan atau pun takwilan.


Bidaah menurut syarak dan bahasa

October 27, 2010

ARKIB Utusan Malaysia : 26/10/2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

BIDAAH tidak akan menjadi isu yang terlalu rumit dan bermasalah jika kita bersedia menerima pembahagian bidaah kepada bidaah hasanah (yang baik) dan bidaah sayyi’ah (yang buruk).

Malangnya sebahagian umat Islam mengkritik pembahagian bidaah ini. Mereka begitu keras mengingkari setiap orang yang menerima dan memperkatakan tentang pembahagian bidaah ini.

Bahkan, ada di antara mereka yang menuduh fasiq dan sesat terhadap setiap orang yang mempunyai fahaman sedemikian.

Menurut mereka, hal itu bersalahan dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Setiap bidaah adalah sesat”.

Lafaz hadis ini adalah jelas merupakan lafaz yang umum maknanya dan jelas menyifatkan bidaah itu sebagai suatu perkara yang sesat. Maka daripada sini, kita melihat mereka berani mengatakan, Apakah boleh dibenarkan atau diterima selepas sabda Rasulullah SAW ini yang menegaskan, “Bahawa setiap bidaah itu sesat” tampilnya mana-mana mujtahid atau faqih yang setinggi manapun kedudukannya, lalu berpendapat, “Tidak! Tidak! Bukan semua bidaah itu sesat, tetapi, sebahagiannya ada yang sesat, sebahagiannya lagi ada yang baik, dan yang buruk.”

Dengan kata-kata dan cara seperti inilah, ramai umat Islam yang tertipu. Mereka turut berteriak bersama-sama mereka yang mengingkari adanya bidaah hasanah. Ternyata, kebanyakan mereka itu adalah orang-orang yang tidak memahami tujuan-tujuan atau maksud-maksud ajaran Islam (maqasid syariah) dan belum merasakan rohnya.

Namun, tidak beberapa lama selepas itu pula, mereka terpaksa mencari jalan keluar untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan yang dihadapi dan juga suasana kehidupan seharian mereka (yang penuh dengan perkara bidaah pada anggapan mereka).

Mereka terpaksa mencipta suatu penemuan dan pendekatan baru terhadap isu ini dengan menampilkan suatu definisi baru tentang bidaah. Lalu muncullah kata-kata: “Sesungguhnya bidaah itu terbahagi kepada bidaah diniyyah (berkaitan dengan agama) dan bidaah dunyawiyyah (berhubungan dengan urusan-urusan duniawi)”.

Maha Suci Allah! Orang yang suka bermain-main ini berani sekali membolehkan dirinya mencipta pembahagian seumpama ini. Atau, paling tidak, mencipta penamaan atau definisi baru mengenai bidaah.

Jika kita menerima bahawa pembahagian ini (secara maknawi) sudah wujud semenjak zaman Nabi Muhammad SAW, sedangkan secara pasti penamaan ini (bidaah diniyyah dan dunyawiyyah) tidak pernah wujud langsung pada zaman tasyri’ (pensyariatan), maka daripada manakah klasifikasi seumpama ini lahir? Dan daripada manakah penamaan yang bidaah ini timbul?

Sesiapa yang mengatakan bahawa pembahagian bidaah kepada hasanah dan sayyi’ah itu bukannya datang daripada syariat, maka kami tegaskan kepada mereka: Begitu jugalah pembahagian bidaah kepada bidaah diniyyah yang tidak diterima dan bidaah dunyawiyyah yang diterima.

Ia juga merupakan satu perbuatan bidaah dan penemuan baru.

Rasulullah SAW menegaskan, “Setiap bidaah itu sesat”. Sabda Nabi Muhammad SAW ini begitu mutlak; tidak mempunyai sebarang syarat. Manakala kamu pula berkata: Tidak! Bukanlah semua bidaah itu sesat secara mutlak; tetapi bidaah itu terbahagi kepada dua bahagian; bidaah diniyyah; ia adalah sesat, dan bidaah dunyawiyyah; ia adalah bidaah yang tidak mempunyai apa-apa hukum di dalamnya.


Memahami hadis tentang bidaah

October 13, 2010

ARKIB Utusan Malaysia : 12/10/2010

KAEDAH ilmu menetapkan bahawa hadis-hadis Nabi SAW perlu ditafsir di antara sebahagiannya dengan sebahagian hadis yang lain dan perlu disempurnakan sebahagiannya dengan sebahagian yang lain. Umat Islam perlu memahami sabda Nabi Muhammad SAW dengan pemahaman yang cermat, komprehensif dan sempurna. Ia juga mesti ditafsirkan dengan roh Islam dan difahaminya bertepatan dengan pendapat dan penelitian Ahli Nazar (Pakar-pakar pengkaji Islam).

Oleh kerana itu, kita mendapati untuk memahami atau mentafsir banyak hadis, memerlukan kepada kecemerlangan akal, kecerdasan intelektual dan pemahaman yang mendalam serta disertai hati yang sensitif. Pemahamannya mesti berdasarkan syariat Islam. Di samping memerhatikan keadaan dan situasi umat Islam serta pelbagai keperluannya. Situasi dan keadaan umat memang harus diselaraskan dengan batasan-batasan kaedah Islam, nas-nas al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW tanpa terkeluar daripadanya.

Contohnya termasuklah hadis ini: “Setiap bidaah adalah sesat.” Untuk memahami hadis seperti ini dengan betul, kita mesti mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan bidaah dalam hadis ini ialah bidaah sayyi’ah, iaitu bidaah yang salah dan menyesatkan. Yang tidak didasarkan kepada ajaran pokok agama Islam.

Pendekatan seperti ini atau apa diistilahkan sebagai taqyid (membataskan yang mutlak) juga digunakan pada hadis yang lain seperti hadis:”Tidak ada solat (yang sempurna) bagi tetangga masjid, kecuali (yang dilakukan) di dalam masjid.”

Hadis di atas, meskipun mengandungi hasr (pembatasan), iaitu menafikan solat tetangga masjid, tetapi kandungan umum daripada hadis-hadis lain mengenai solat, mengisyaratkan bahawa hadis tersebut perlu difahami dengan suatu qayyid atau pengikat. Maka pengertiannya ialah, “tidak ada solat (fardu) yang sempurna bagi tetangga masjid, kecuali di masjid.” Namun, tetap terdapat perselisihan pendapat di antara ulama dalam isu ini.

Begitu juga dengan hadis Rasulullah SAW ini: “Tidak ada solat di samping makanan (yang telah terhidang).” Maksudnya adalah “tidak sempurna solat di samping makanan yang telah terhidang.”

Pendekatan yang sama juga harus kita gunakan untuk memahami hadis berikut: “Tidak beriman seseorang kamu kecuali ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri.” Iaitu dengan erti kata, “tidak sempurna iman.”

Begitu juga hadis berikut: “Demi Allah! Tidak beriman. Demi Allah! Tidak beriman. Demi Allah! Tidak beriman (dengan keimanan yang sempurna).” Ada yang bertanya, “Siapakah (yang tidak sempurna keimanannya) itu, wahai Rasulullah?” Baginda SAW bersabda: “Orang yang jirannya tidak berasa aman dengan gangguannya.”

Demikian juga hadis-hadis ini: “Tidak masuk syurga pengadu domba.” “Tidak masuk syurga pemutus tali persaudaraan. Tidak masuk syurga orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya.”

Menurut tafsiran ulama, yang dimaksudkan dengan tidak masuk syurga itu adalah tidak masuk awal ke dalam syurga, atau tidak masuk syurga jika menghalalkan perbuatan mungkar tersebut. Justeru kita dapati, para ulama tidak memahami hadis tersebut menurut zahirnya, tetapi mereka memahaminya melalui dengan pendekatan takwil (melihat makna alternatif yang muktabar).

Maka hadis bidaah tersebut juga termasuk dalam bab ini. Keumuman kandungan pelbagai hadis lain dan amalan para sahabat RA memberikan kesan bahawa yang dimaksudkan dengan bidaah dalam hadis tersebut hanyalah bidaah sayyi’ah; yakni bidaah yang jelas tidak mempunyai landasan pokok daripada ajaran Islam; dan bukan semua bidaah.

Cuba pula kita perhatikan hadis berikut: “Sesiapa yang melakukan suatu Sunnah yang baik, maka ia berhak mendapat pahalanya dan pahala orang yang mengamalkannya hingga hari Kiamat.” Juga hadis, “Hendaklah kalian mengikut Sunnahku dan Sunnah para khalifah yang memberikan petunjuk.” Perhatikan juga perkataan Umar al Khattab RA mengenai solat Terawih (secara jemaah): “Sebaik-baik bidaah adalah perbuatan ini.”


Bidaah baik dan buruk

October 13, 2010

ARKIB Utusan Malaysia : 12/10/2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

ALHAMDULILLAH, dengan izin-Nya jua dapat kita menunaikan hasrat seperti yang dinyatakan di minggu lepas untuk kita memulakan perbahasan beberapa isu yang sering dimanipulasikan oleh sesetengah pihak untuk memakaikan imej negatif terhadap Tasawuf.

Berdasarkan kitab rujukan kita, Mafahim karya Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid ‘Alawi al-Maliki, isu pertama yang diberi tumpuan adalah isu bidaah. Tasawuf atau aliran Sufi yang sebenarnya merupakan pegangan dan kecenderungan para ulama arus perdana umat, termasuk para ulama hadis dan fiqh sering digambarkan sebagai penuh dengan pegangan dan amalan bidaah.

Untuk mengelakkan kita terjerumus kepada menyalahkan sekian ramai para ulama umat yang terpilih ini, marilah kita meneliti makna dan erti bidaah yang sebenar.

Di akhir perbincangan nanti, kita berharap sekurang-kurangnya mereka yang tidak bersetuju tetap akan mengakui bahawa kita tetap ada asas pijakan ilmiah bagi pendirian kita lantas bersedia untuk lebih berlapang dada dalam berbeza pendapat.

Terdapat di kalangan umat Islam yang mengaku sebagai ulama atau pakar ajaran Islam telah menisbahkan diri mereka kepada salafussoleh.

Malangnya, mereka mengajak umat Islam mengikut jejak langkah atau Sunnah ulama Salafussoleh dengan cara-cara yang primitif, penuh kejahilan, fanatik buta, akal yang senteng, pemahaman yang dangkal dan dada yang sempit.

Bahkan, mereka juga berani memerangi setiap sesuatu yang baru dan mengingkari setiap penemuan baru yang baik dan berfaedah hanya kerana menilai (dengan pemahaman mereka yang sempit) perkara tersebut sebagai bidaah. Pada pemahaman mereka, semua bidaah adalah sesat tanpa membezakan di antara jenis-jenis bidaah yang ada.

Sedangkan, roh dan semangat agama Islam menghendaki supaya kita membezakan di antara pelbagai bidaah yang ada. Sepatutnya umat Islam perlu mengakui bahawa bidaah itu ada yang baik dan ada yang sesat. Inilah perkara yang lebih selari dengan akal yang cerdas dan penelitian yang cemerlang.

Inilah perkara yang telah ditahqiq (diakui kebenarannya setelah dilakukan penelitian) oleh ulama usul daripada kalangan ulama Salaf umat ini seperti Imam al ‘Iz Ibnu Abdul Salam, Imam Nawawi, Imam Suyuti, Imam Jalaluddin al Mahalli, dan Ibnu Hajar, semoga Allah merahmati mereka semua.

Inilah perbahasan awal dalam menetapkan bahawa sebenarnya ada hujah yang kuat dan muktabar untuk menerima pembahagian bidaah kepada yang tercela dan terpuji, baik dan buruk. Insya-Allah kita akan menyambung perbincangan ini di minggu hadapan dengan harapan agar Allah SWT sentiasa membuka hati-hati kita untuk mendengar kalam yang baik lalu mengikut yang terbaik. Hanya Dialah yang menunjukkan seseorang ke jalan yang lurus.


Wasitoh yang benar

October 5, 2010

ARKIB Utusan Malaysia : 28/09/2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

KITA masih menumpang teduhan perbahasan kitab Mafahim Yajib an Tusohhah karya Al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki tentang kedudukan wasitoh atau perantaraan dalam hubungan kita dengan Allah SWT.

Kali ini kita melihat pula wasitoh yang benar dan dibolehkan dalam Islam. Ini perlu diberi perhatian dengan sebenar-benarnya kerana ramai umat Islam yang tidak memahaminya dengan baik.

Pertamanya, perhatikanlah bahawa ketika Allah SWT menyuruh umat Islam menghadap ke Kaabah ketika solat, maka mereka pun menghadap ke arah Kaabah ketika beribadah dan menjadikan kaabah sebagai kiblat.

Ini bukanlah penyembahan kepada kaabah. Begitu juga mencium Hajar al-aswad. Perbuatan tersebut dilakukan semata-mata ubudiah (bentuk penghambaan) kepada Allah SWT dan mengikut perbuatan Nabi Muhammad SAW.

Seandainya ada umat Islam yang berniat menyembah Kaabah dan Hajar al-aswad, sudah pasti mereka menjadi orang yang mensyirikkan Allah seperti para penyembah berhala.

Tidak dapat tidak, wasitoh itu perlu dalam ibadat dan ia tidak termasuk dalam perbuatan syirik. Tidaklah setiap orang yang menggunakan wasitoh di antara dia dan Allah menjadi musyrik.

Jika setiap orang yang menggunakan wasitoh dianggap musyrik, pasti seluruh manusia akan menjadi musyrik, kerana segala urusan umat Islam itu terbina di atas jalan wasitoh.

Bukankah Nabi Muhammad SAW menerima al-Quran melalui wasitoh (perantaraan) Jibril a.s? Maka, Jibril menjadi wasitoh bagi Nabi Muhammad SAW dan baginda pula menjadi wasitoh terbesar bagi para sahabatnya r.a.

Para sahabat sering menemui Rasulullah SAW ketika menghadapi pelbagai kesulitan untuk mengadu keadaan mereka.

Mereka juga sering bertawassul dengan baginda SAW kepada Allah dan memohon doa daripadanya.

Namun, Rasulullah SAW tidak pernah berkata kepada mereka: “Kalian telah melakukan perbuatan syirik dan menjadi kafir, kerana tidak boleh seorang itu mengadu kepadaku dan tidak boleh memohon doa daripadaku. Kamu sendiri yang harus pergi menghadap Allah, berdoa dan memohon kepadaNya secara langsung akan segala keperluanmu, kerana sesungguhnya Allah SWT lebih dekat kepadamu daripadaku! Tidak sama sekali!”

Rasulullah tidak pernah berkata begitu. Malahan, baginda menunaikan permintaan mereka dan memohon kepada Allah dalam keadaan para sahabat r.a mengetahui bahawa pemberi (al-Mu’ti) sebenarnya adalah Allah SWT, pencegah daripada memberi (al-Maani’), yang melapangkan rezeki (al-Baasit) dan pemberi rezeki (al-Razzaq) hanyalah Allah SWT.

Mereka juga yakin, bahawa Rasulullah memberi hanyalah dengan izin dan kurniaan Allah. Bahkan, Rasulullah sendiri pernah menegaskan: “Aku hanyalah pembahagi (yang mengagih-agihkan), sedangkan Allahlah yang mengurniakannya.”

Maka dengan ini jelaslah, bahawa adalah harus mana-mana manusia biasa itu disifatkan atau dikatakan bahawa ‘Dia yang telah melepaskan kesusahan’, ‘Dia yang telah menunaikan hajat’ dan lain-lainnya.

Maksudnya, dia menjadi perantara dalam menyelesaikan masalah-masalah tersebut. Apatah lagi penghulu yang mulia, nabi yang paling utama, penghulu dua alam kejadian dan penghulu bagi golongan jin dan manusia.