Tasauf galakkan berjihad dan bekerja

June 22, 2010
Utusan Malaysia 22 Jun 2010
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Islam menyuruh umatnya bekerja bersungguh-sungguh agar menikmati kejayaan
di dunia. – Gambar hiasan


DI antara tohmahan sesetengah pihak terhadap tasauf dan ahlinya adalah tasauf itu mendorong kepada sikap pasif, jumud dan berserah semata-mata tanpa berusaha dan bekerja dalam menghadapi urusan dunia.

Oleh kerana kurangnya maklumat dan kefahaman sebenar terhadap persoalan ini, sebahagian masyarakat awam turut terpengaruh dengan persepsi ini.

Apabila anak-anak, saudara atau teman mereka terlibat dalam aliran berunsur tasauf, walaupun yang murni dan arus perdana, maka timbullah kegusaran dalam hati mereka bahawa aspek duniawi dan kebajikan mereka ini akan tertinggal dan terabai.

Persepsi salah ini perlu dijauhi. Jika tidak ia mungkin menjerumuskan kita dalam sikap menzalimi. Bahkan memusuhi mereka yang sebenarnya berada di atas kebenaran dan bahkan mungkin sebahagiannya adalah para wali atau kekasih-kekasih Allah SWT.

Memusuhi wali-wali Allah adalah termasuk beberapa kesalahan paling berat sehingga Allah SWT mengisytiharkan perang terhadap pelakunya seperti maksud satu hadis qudsi yang masyhur.

Sebenarnya, para pembaca sudah sepatutnya mampu menolak persepsi negatif ini jika mereka telah memahami dan bersetuju dengan penjelasan kami dalam siri ruangan ini yang lepas-lepas bahawa tasauf itu adalah tidak lain daripada dimensi ihsan agama kita dan bahawa tasauf hakiki adalah bersumberkan dan selari dengan al-Quran dan al-sunnah.

Mana mungkin sesuatu yang begitu asasi dan asli dalam Islam bersifat pasif, lemah dan jumud melulu?

Tanpa perlu berbahas panjang, seseorang yang bijaksana sudah mampu meletakkan isu ini pada kedudukan sebenarnya. Samalah seperti seseorang Muslim yang benar-benar faham dan yakin tentang sifat-sifat Maha Adil, Pengasih dan Penyayang yang ada pada Allah SWT.

Tanpa pembahasan terperinci tentang persoalan qada dan qadar, ketentuan, nasib dan seumpamanya, orang ini tetap tidak akan sampai mempertikaikan keadilan Tuhan di sebalik segala ketentuan buruk atau baik yang berlaku dalam kehidupan.

Namun, apakan daya. Kita ditakdirkan hidup dengan adanya suara-suara sumbang yang sering cuba menyerang tasauf. Maka perlulah soal ini dibahaskan.

Jika diteliti secara insaf, ajaran, aliran dan para pengamal tasauf hakiki sepanjang sejarah Islam adalah mereka yang sangat mementingkan berusaha dan bekerja dalam menghadapi urusan dunia.

Malah jika semboyan jihad dikumandangkan dalam situasi jihad peperangan yang benar-benar memenuhi syaratnya, kita akan dapati para ahli tasauf adalah antara mereka yang berada di saf hadapan tentera Islam.

Sikap ini jelas pada sunnah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda yang merupakan para pengasas dan pemuka tasauf. Abdullah Ibnu Mubarak, Syaqiq al-Balkhi, Hatim al-‘Asom pula adalah antara tokoh tasauf yang menyusuli mereka yang tercatat jelas keperwiraan dan kepahlawanan mereka di medan jihad perang.

Begitu juga para pemuka tasauf yang datang kemudian seperti Imam Abul Hasan al-Syazuli dan Badiuzzaman Said Nursi.

Sejarah juga menjadi saksi kesatriaan para pejuang berlatar-belakangkan tasauf seperti Imam al-Sanusi di Libya dan Imam Syamil Al-Daghestani di Chechya.

Di alam Melayu, kita biasa mendengar tentang kepahlawanan para ulama sufi menentang penjajah Belanda dan Inggeris seperti para Wali Songo, Sheikh Abdul Samad al-Falembani, Sheikh Yusuf Tajul Khulwati al-Makasari.


Kepentingan tasauf

June 17, 2010
Arkib Utusan Malaysia 15/6/2010
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Mempelajari tasauf dapat menghindari manusia daripada sifat tercela termasuk perbuatan membunuh. – Gambar hiasan


KITA telah membahaskan kedudukan tasauf dalam kerangka besar agama Islam dan hubungannya dengan syariat dan sunnah. Kali ini kita ingin menekankan kepentingan tasauf dalam kehidupan peribadi seseorang Muslim.

Sesungguhnya pentaklifan syariat yang diperintahkan secara khusus kepada manusia itu kembali kepada dua bahagian. Pertamanya, hukum-hakam yang berkaitan dengan amalan zahiriah dan yang kedua, hukum-hakam yang bersangkutan dengan amalan batiniah. Ataupun dalam erti kata lain, hukum-hakam yang bersangkutan dengan anggota badan manusia dan amalan yang bersangkutan dengan hati.

Amalan jasad itu terbahagi kepada dua jenis; yang berbentuk suruhan seperti solat, zakat, haji dan lain-lainnya, dan juga larangan seperti membunuh, berzina, mencuri, minum arak dan sebagainya.

Amalan hati juga terbahagi kepada dua; yang berbentuk suruhan seperti beriman dengan Allah, malaikat, hari kiamat, kitab-kitab dan rasul-rasulNya.

Begitu juga ikhlas, reda, benar, khusyuk, bertawakal dan sebagainya. Sementara yang berbentuk larangan seperti kufur, munafik, takbur, ujub, riak, menipu, hasad dan dengki.

Aspek kedua iaitu yang bersangkutan dengan hati lebih penting daripada bahagian pertama di sisi Allah, kerana batin adalah asas atau punca bagi yang zahir.

Kerosakan yang berlaku pada batin akan mencacatkan atau menjejaskan nilai amalan zahir. Oleh yang demikian Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan sesiapa yang yang bercita-cita untuk bertemu dengan Tuhannya hendak beramal dengan amalan saleh dan jangan dia mensyirikkan Allah dengan sesuatupun dalam ibadahnya. (al-Kahfi: 110)

Rasulullah SAW juga sangat memberi fokus terhadap penyucian hati dan menegaskan bahawa baik jahatnya seseorang itu tergantung pada hatinya.

Baginda bersabda: Ingatlah, sesungguhnya di dalam jasad itu terdapat seketul daging. Apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh jasad. Sesungguhnya ia adalah hati.

Rasulullah SAW juga menegaskan bahawa tempat jatuhnya pandangan Allah kepada hamba-Nya adalah hati. Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad kamu, atau pun lahiriah kamu tetapi Dia memandang kepada hati-hati kamu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh kerana kebaikan seseorang itu bersangkut paut dengan kebaikan hatinya yang menjadi penentu amalan zahirnya, maka wajiblah ke atasnya memperbaiki hatinya dengan mengosongkannya daripada sifat-sifat terkeji yang dilarang oleh Allah dan menghiasinya dengan sifat-sifat terpuji yang diperintahkan oleh Allah.

Dengan itu, hatinya akan berada dalam keadaan sejahtera dan benar. Pemiliknya akan tergolong di kalangan orang yang berjaya dan terselamat pada hari yang tiada manfaat harta benda dan anak isteri melainkan orang yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera.

Imam Jalal al-Din al-Suyuti r.a berkata: “Adapun tentang ilmu hati dan mengenal penyakit-penyakitnya seperti hasad, ujub, riak dan sebagainya”. Sementara, Imam al Ghazali r.a menyatakan bahawa ia adalah fardu ain. (al-Asybah wa al-Nadzair, H.504)


Tasauf bercanggah dengan sunnah?

June 8, 2010

Utusan Malaysia 8 Jun 2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

KITA menyambung bicara kita tentang tasauf dengan menyentuh suatu tohmahan dan salah tanggapan bahawa ia tidak harmoni dengan sunnah.

Akibatnya muncul satu pola pertentangan dalam aliran-aliran Islam semasa antara sufi dan hadis. Ini sebenarnya adalah suatu gambaran yang tersasar.

Dasar pengambilan tasauf adalah al-Quran dan sunnah. Ilham-ilham dan ilmu-ilmu yang dibukakan bagi ahli-ahlinya tasauf yang tidak bertentangan dengan al-Quran dan sunnah.

Tidak dinamakan tasauf jika ia menyanggahi perlembagaan terbesar Islam ini. Kelahiran tasauf itu sendiri seiring dengan Islam.

Cuma, pada zaman di mana setiap peringkat masyarakat mula menjuruskan pandangan terhadap dunia, wujud golongan yang menyusun tasauf dengan meletakkan istilah-istilah tertentu kepada ilmu ini.

Tidak dinafikan timbul pula segolongan yang menggunakan tasauf untuk kepentingan peribadi. Mereka membawa gejala-gejala negatif ke dalam tasauf sehingga mendatangkan fitnah dan menjejaskan pandangan masyarakat terhadap tasauf. Sekali gus menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap konsep tasauf yang tulen.

Alhamdulillah, sebagai cabang ilmu asasi dalam Islam, tasauf tetap dipelihara oleh Allah SWT dengan tampilnya golongan yang berusaha sedaya upaya mempertahankan ketulenannya seperti Imam Abdul Wahhab al Sya’rani r.a yang mengarang kitab Tanbih al Mughtarrin dan Imam al-Qusyairi r.a yang mengarang kitab Risalah al Qusyairiyyah fi Ilmi al-Tasawwuf.

Begitu juga dengan tokoh-tokoh seperti Sheikh Abdul Halim Mahmud, mantan Sheikh al-Azhar, Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim, Sheikh Abdullah Siddiq al-Ghumari dan lain-lainnya yang cemerlang dalam mempertahankan kemurnian tasauf.

Juga tidak ketinggalan, tokoh ulama Mekah Ahlus Sunnah zaman mutakhir ini, al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi al-Maliki al-Hasani.

Beliau memerhatikan bahawa tasauf sengaja diberi imej yang buruk oleh sesetengah orang.

Beliau berkata: “Sesungguhnya tasauf telah teraniaya, ditohmah dan dipandang serong. Tidak ramai yang memandangnya dengan pandangan yang tepat dan betul.

“Sebahagian besar ahli masyarakat melabelkan tasauf dan sufi dengan sifat-sifat yang tercela dan keji sehingga menjatuhkan hak penyaksian dan keadilan seseorang ahli tasauf.

“Mereka berkata ‘si fulan tidak boleh dipercayai dan tidak boleh diterima khabarnya’ kenapa? Kerana dia adalah seorang sufi.

“Namun demikian, apa yang menghairankan, orang-orang yang begitu lancang mencaci tasauf dan menentang ahli sufi ini, mengutip kata-kata dan perbuatan ahli sufi untuk dijadikan bahan dalam teks ucapan dan pengajaran mereka.

“Mereka seolah-olah tidak berasa malu meminjam kata-kata imam-imam sufi ini untuk digunapakai dalam khutbah-khutbah dan majlis-majlis pengajian mereka.

“Kita seringkali mendengar mereka mengucapkan ‘telah berkata al Fudhail ibn ‘Iyadh r.a, telah berkata Junaid al-Baghdadi r.a, telah berkata Hasan al-Basri r.a, telah berkata Sahl al-Tasturi r.a, telah berkata al-Muhasibi r.a, telah berkata Bisyr al-Hafi r.a’ dan sebagainya.

“Adakah mereka tidak kenal siapakah insan yang meniti di bibir-bibir mereka? Nama-nama ulama yang mereka sebut merupakan pemuka-pemuka tasauf yang tidak asing lagi. Malah, ulama inilah yang telah menyusun kaedah-kaedah ilmu tasauf dan telah mencapai kedudukan sebagai wali qutub (pangkat tertinggi wali-wali).

“Kitab-kitab tasauf juga dipenuhi dengan kata-kata mereka, khabar-khabar dan biografi mereka. Tidak dapat dipastikan, sama ada orang yang mentohmah ahli tasauf ini benar-benar orang yang jahil atau pun buat-buat jahil? Atau pun, mereka ini buta atau buat-buat buta?” (Mafahim Yajibu an Tusohhah, H: 107)


Tasauf: Antara syariat, hakikat dan tarekat

June 1, 2010
Utusan Malaysia 1 Jun 2010
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

PADA minggu lepas, kita telah menekankan tentang tasauf sebagai ilmu yang membincangkan tentang rukun Ihsan dan juga hakikat agama Islam.

Kita juga telah menunjukkan bahawa istilah hakikat telah pun digunakan untuk merujuk kepada tahap keimanan yang tinggi yang dicapai oleh seorang yang benar-benar beriman.

Inilah yang tergambar daripada pertanyaan Nabi SAW kepada Muaz r.a yang telah kita petik serta hadis lain yang hampir sama isinya melibatkan seorang sahabat, Harithah r.a.

Formula utamanya adalah, syariat sebagai asas, manakala tarekat adalah wasilah dan hakikat pula ialah buah atau hasilnya. Tiga perkara ini sebenarnya saling melengkapi dan sebati.

Sesiapa yang berpegang dengan syariat, akan melalui tarekat, dan seterusnya akan sampai kepada hakikat. Tidak ada di antaranya pertentangan dan percanggahan.

Oleh kerana inilah, ahli sufi berkata di dalam kaedah mereka yang masyhur: “Setiap hakikat yang bersalahan dengan syariat, maka ia adalah zindiq”.

Bagaimana boleh dikatakan hakikat menyanggahi syariat, sedangkan hakikat lahir daripada proses melaksanakan syariat? (Sheikh Abdul Qadir Isa, Haqaiq ‘An al-Tasawwuf, H. 475)

Untuk menjelaskan hubungan di antara syariat dan hakikat, di sini dikemukakan satu contoh.

Misalnya solat; pergerakan dan perbuatan zahir berserta rukun-rukun dan syarat-syaratnya adalah faktor syariat yang menjadi jasad solat. Ada pun hadir hati bersama Allah di dalam solat pula merupakan faktor hakikat yang menjadi roh solat.

Amalan yang dilakukan dalam solat merupakan jasadnya, manakala khusyuk dalam solat adalah rohnya.

Apakah faedahnya jasad tanpa roh dan apakah hubungan di antara kedua-duanya? Sebagaimana roh memerlukan kepada jasad untuk mendirikan solat, begitu jugalah jasad memerlukan roh untuk tujuan tersebut.

Oleh kerana itulah, Allah SWT telah berfirman: Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. (al-Baqarah: 110). Solat tidak dapat dilaksanakan dengan sebenar-benarnya melainkan dengan roh dan jasad.

Oleh sebab itulah, di dalam firman Allah di atas, tidak disebut: ‘solatlah’, tetapi disebut ‘dirikanlah solat’.

Daripada sini terdapat hubungan yang erat di antara syariat dan hakikat sebagaimana eratnya hubungan roh dan jasad. Oleh itu, orang Mukmin yang sempurna ialah yang menghimpunkan di antara syariat dan hakikat.

Inilah inti seruan para ahli sufi kepada umat manusia sebagai mengikut kesan dan jejak Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya. (Isa, Haqaiq, H. 474)

Untuk sampai kepada kedudukan yang tinggi dan keimanan yang sempurna, seseorang perlu mengikut jalan tarekat, iaitu bermujahadah melawan nafsu, mendaki daripada sifat kekurangan kepada sifat yang sempurna dengan mendampingi guru mursyid.

Inilah jambatan yang akan menyampaikan seseorang daripada syariat kepada hakikat.

Berkata Imam sufi, Sheikh Ahmad Zarruq r.a: “Tidak ada tasauf melainkan dengan fikah, kerana tidak akan diketahui hukum-hakam Allah yang zahir melainkan dengan syariat. Tidak ada fikah melainkan dengan tasauf kerana tidak ada suatu amalan melainkan dengan siddiq (benar) dan bertawajjuh (mengadapkan diri) kepada Allah. Tidak ada kedua-duanya (tasauf dengan fikah) melainkan dengan keimanan, kerana tidak sah salah satu daripadanya tanpa iman.

“Jadi semuanya menjadi wajib pada hukum sebagaimana wajibnya jasad bagi roh. Tidak ada kewujudan bagi roh melainkan di dalam jasad sebagaimana tidak adanya kehidupan bagi jasad melainkan dengan roh, maka fahamilah”. (Qawaid al-Tasawwuf, H. 4)

Tasauf dan tarekat

Istilah tarekat adalah antara istilah dunia tasauf yang sering cuba dimomokkan oleh sesetengah pihak. Seolah-olah semua tarekat sufi yang ada itu adalah sesat dan menyesatkan.

Ada buku terjemahan di negara kita yang menyenaraikan nama tarekat-tarekat arus perdana tasauf, menyatakan dengan berani bahawa semua tarekat ini mengandungi kesesatan!

Sebenarnya, tidak ada bidang dan ilmu yang tidak disusupi oleh mereka yang menyeleweng daripada arus perdana bidang tersebut. Begitulah tasauf dan tarekat.

Cuma jika kita merujuk kepada para ahli bidang tasauf, kita akan mudah membezakan tarekat yang benar dan tarekat yang palsu dan sesat.

Apakah sebenarnya tarekat? Menurut al-Jurjani r.h dalam kitabnya al-Ta’rifaat: “Tarekat adalah jalan yang khusus bagi ahli salikin (orang yang berjalan) menuju kepada Allah dengan melalui pelbagai rintangan dan peningkatan pelbagai makam”. (Al-Jurjani, Ta’rifaat H: 94).

Mufti Mesir, Dr. Ali Jum’ah, dalam fatwanya yang berkaitan menyatakan bahawa tasauf adalah suatu program atau modul pendidikan yang menumpukan kepada penyucian diri manusia daripada segala penyakit hati yang menghijabnya daripada Allah SWT.

Beliau turut mentakrifkan tarekat sebagai madrasah yang menjurus kepada proses penyucian diri dan pembaikan akhlak sedangkan sheikh tarekat ialah individu yang dipertanggungjawabkan memimpin proses tersebut.

Tarekat-tarekat ini berbilang-bilang disebabkan beberapa faktor termasuk tabiat semulajadi manusia yang berbeza-beza. Ini seperti yang dapat kita perhatikan dalam berbezanya jawapan Nabi SAW apabila ditanya tentang amalan soleh yang paling utama.

Baginda SAW memberi jawapan yang sesuai dengan orang yang bertanya. Perbezaan ini juga berdasarkan pengalaman dan ijtihad yang berbeza dalam mentarbiyah diri yang dipunyai oleh para guru tasauf selagi ia tidak terkeluar batasan al-Quran dan sunnah.

Namun, ini tidak bermakna kita boleh merujuk terus kepada dua sumber ini untuk mengenalpasti proses pendidikan tasauf yang benar.

Dr. Ali Jum’ah menegaskan, seperti mana ilmu-ilmu lain memerlukan perantaraan para ulama untuk menggali ilmu tersebut daripada dua sumber utama ini, begitu juga kita perlu merujuk kepada para ulama tasauf untuk menggali ilmu tasauf.

Jika tarekat dalam ilmu tasauf itu difahami dalam konteks ini, maka ia akan kelihatan selari dan serasi dengan kerangka agama Islam.

Maka jadilah ia seperti kata-kata Ibnu ‘Abidin r.h di dalam kitabnya yang masyhur, Radd al-Mukhtar: “Tarekat adalah jalan yang khusus bagi Ahli Salikin dengan mengharungi pelbagai rintangan dan melalui peningkatan makam-makam…Hakikat adalah musyahadah (menyaksikan) akan Tuhan dengan mata hati. Dikatakan juga, bahawa ia adalah rahsia maknawi yang tidak terbatas dan bertempat.

“Hakikat, tarekat dan syariat saling melazimi kerana jalan menuju kepada Allah mempunyai zahir dan batinnya. Zahirnya ialah syariat dan tarekat. Manakala batinnya adalah hakikat.

“Hakikat berada di dalam syariat dan tarekat sebagaimana pati susu yang berada di dalam susu. Pati susu tidak akan dapat diminum bersama air susu, sekiranya tidak digaulkan.

“Oleh hal yang demikian, maksud ketiga-tiga perkataan tersebut (syariat, tarekat dan hakikat) adalah mendirikan penghambaan kepada Allah sebagaimana yang dikehendaki daripada seseorang hamba”. (Isa, Haqaiq, H. 477-478)