Cuti-cuti Malaysia ke Cherating

December 25, 2009

Alhamdulillah, ni baru je balik dari Cherating…. bukan apa, kesian kek bebudak ni, asyik memorap kek dopan komputer yo. Jadi, sebelum masuk tahun baru ni, gi la jejalan, mandi kolan, selain urusan peribadi yang tak dapek den nak story kek sini (menyolam sambil minum air kolam laa ni).

………………more

Advertisements

Meneroka makna hijrah

December 22, 2009
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

sambutan tahun baru Hijrah sepatutnya memperkukuh usaha umat Islam mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.


SEMPENA meraikan tibanya tahun baru Hijrah 1431, ruangan ini menangguhkan dahulu siri tulisan mengenai persoalan tauhid tiga serangkai yang sudah memasuki siri keempat sebelum ini.

Alhamdulillah, nampaknya perbincangan tajuk tersebut di ruangan ini mendapat perhatian dan turut dipanjangkan di ruang-ruang lain.

Selain ramai yang menghargai kerana jarang-jarang didapati tajuk tersebut dibahaskan secara kritikal begitu, ada juga yang keras menyanggah pandangan dan pendekatan kami.

Kami tidaklah terkejut dengan reaksi sebegini kerana sedia maklum memang ada di kalangan kita, individu dan kelompok yang sudah bertaklid kepada aliran yang penuh komited terhadap pemisahan antara tauhid rububiah dan uluhiah.

Mereka mungkin sukar menerima mana-mana pandangan yang tidak selari dengan aliran atau mazhab yang menjadi tumpuan dan dokongan mereka.

Selain daripada mereka ini mungkin di sana ada juga sebahagian anggota masyarakat yang sudah terbiasa dengan penggunaan istilah tauhid kepada uluhiah, rububiah dan asma wa sifat dalam apa yang telah mereka baca dan dengar.

Mungkin agak janggal bagi mereka mendengar kritikan dan sanggahan terhadap istilah yang sudah terbiasa bagi mereka. Pihak kami maklum dengan realiti ini dan akan cuba membuat jawapan dan penjelasan yang seadil dan secukupnya terhadap pelbagai sudut persoalan tersebut dalam kesempatan-kesempatan mendatang, insya-Allah.

Benar dan salah tidaklah ditentukan oleh yang mana lebih lantang dan agresif. Sering berlaku kegagalan kita bersabar dan bertertib dalam pencarian kebenaran akhirnya menyebabkan kita gagal menemukannya.

Memang menjadi hasrat kami agar persoalan tauhid tiga serangkai ini mendapat perhatian yang lebih dan lebih analitikal dalam masyarakat kita agar kita dapat menjauhi fahaman dan tafsiran yang tidak sesuai dengan faham tauhid yang murni dalam Islam.

Alhamdulillah, kita diizinkan Allah SWT untuk memasuki tahun hijrah yang baru. Umat Islam menyambutnya dengan cara yang berbeza. Ada yang hanya menyedari ketibaannya kerana ia ditentukan sebagai cuti umum.

Ramai juga yang menyambutnya dengan mengatur pelbagai majlis dan acara termasuk berkumpul di masjid dan surau dengan pengisian seperti bacaan doa akhir dan awal tahun, bacaan al-Quran, selawat dan tazkirah.

Semoga Allah SWT menerima niat baik dan doa-doa mereka yang tentunya merangkumi kebajikan dan kesejahteraan negara dan umat Islam seluruhnya dalam tahun baru ini.

Kepekaan terhadap peredaran masa dan zaman memang suatu tuntutan Islam. Penggantian tahun dalam kalendar Islam turut diraikan kerana ia terkait dengan suatu peristiwa besar dalam sirah junjungan kita, Nabi Muhammad SAW iaitu peristiwa Hijrah.

Hijrah memang mengandungi pelbagai makna dan erti. Sudut yang sering mendapat sorotan ramai adalah peralihan fasa risalah Islam daripada dakwah kepada fasa dawlah atau pembinaan negara.

Tanpa menafikan kepentingan dimensi luaran peristiwa ini, adalah perlu diinsafi bahawa hijrah luaran dan fizikal ini tidak akan berhasil dan bermakna tanpa disertai hijrah rohani dalam hati dan jiwa umat.

Hakikat ini ditegaskan dalam sabda Nabi SAW dalam hadis yang masyhur mengenai niat dan amalan, “Sesungguhnya amalan itu ditentukan oleh niat, dan bagi seseorang itu apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang berhijrah kepada dunia yang ingin diperolehinya atau wanita yang ingin dikahwininya maka hijrahnya adalah kepada apa yang menjadi maksud hijrahnya”.

Sangat jelas dalam hadis ini yang merupakan antara induk segala hadis bahawa sebesar mana pun amalan agama seseorang itu, penentunya adalah niat dan maksud dalaman di sebalik amalan tersebut.

Hijrah Nabi SAW adalah episod yang begitu hebat dan sangat menentukan kerana ia adalah suatu projek keagamaan yang dijayakan oleh sekelompok insan agung yang memiliki hati paling suci dan ikhlas di bawah pimpinan penghulu para mukhlisin, Nabi Muhammad SAW.

Artikel asal dan penuh


Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1431

December 18, 2009

Assalamualaikum warahmatullah,

Salam tahun baru saya dan keluarga ucapkan kepada pengunjung blog kami. Semoga kedatangan tahun baru ini dapat meningkatkan apa yang sepatutnya ditingkatkan….

Semoga kedatangan tahun baru ini dapat memberikan kekuatan dalam menambah rasa cinta dan sayang kita kepada junjungan besar Muhammad bin Abdullah.

Jika tidak disebabkan hijrahnya Rasulillah, jika tidak pengorbanannya Rasulillah, jika tidak jasanya Rasulillah, tak mungkin dapat kita merasai nikmat Islam dan iman sekarang. Dengan pengorbanan yang telah beliau curahkan, dengan keringat yang beliau tumpahkan namun masih ada yang mampu menggerakkan lidah mencaci dan merendah-rendahkan martabatnya sebagai Makhluk yang terbaik di atas muka bumi ini.

Oleh itu, marilah kita sama-sama membuka lembaran tahun baru ini dengan mengingati jasa pengorbanan Nabi kita yang mulia, Saiyiduna Muhammad bin Abdullah.

Wallahu ‘alam.


Dalil sanggah beza tauhid uluhiah dan rububiah

December 15, 2009
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

MENYAMBUNG persoalan minggu lepas tentang tauhid uluhiah dan rububiah yang dibezakan oleh pereka tauhid ini, adakah terdapat perbezaan di antara kedua-duanya? Maka minggu ini kami memaparkan pula dalil aqal dan naqal yang menafikan sama sekali perbezaan ini.

Kami tegaskan sekali lagi, bahawa dengan membezakan di antara kedua-dua tauhid ini, mereka menganggap orang musyrik sebagai ahli tauhid dengan tauhid rububiah.

Dalam erti kata lain, melalui konsep tauhid rekaan Ibnu Taimiyyah ini, orang musyrik atau orang yang tidak mengucapkan kalimah syahadah dianggap sebagai ahli tauhid atau orang yang mengesakan Allah.

Ini kerana, kononnya mereka percaya dan mengakui bahawa Allah yang mencipta segala sesuatu dan mentadbir segala urusan alam ini, tetapi mereka tidak bertauhid dengan tauhid uluhiah kerana menyekutukan Allah dalam sembahannya.

Maknanya juga, dalam satu masa seseorang itu boleh dikira sebagai ahli tauhid dan musyrik. Inilah salah satu kepincangan tauhid ini yang mendapat sanggahan yang hebat daripada ulama Ahli Sunnah.

Sebagai menjelaskan lagi kepincangan dan kebatilan tauhid ini, marilah sama-sama kita merujuk kepada dalil-dalil ulama dari sudut akal dan naqal.

Dari sudut aqal

Sekiranya orang-orang musyrik termasuk di dalam golongan ahli tauhid rububiah (sebagaimana yang mereka percayai), bermakna mereka ini beriktikad dengan iktikad yang jazam (teguh dan tidak berbelah bahagi).

Dengan iktikad ini, sudah pasti mereka tidak akan meragui bahawa Allah itu Esa pada ciptaan, kekuasaan, pentadbiran, takdir dan perbuatan-Nya serta dalam mendatangkan suatu kesan sama ada manfaat atau pun mudarat, yang kesemuanya ini adalah komponen bagi tauhid rububiah.

Jika inilah keadaannya, bolehkah diterima akal, dengan iktikad sedemikian mereka boleh pula mengambil tuhan selain Allah untuk disembah, sedangkan tuhan yang lain itu tidak berkuasa mendatangkan sebarang manfaat atau mudarat kepada mereka?

Orang-orang musyrik pada setiap zaman dan tempat menyembah pelbagai sembahan selain Allah. Mereka mempercayai bahawa sembahan-sembahan mereka itu boleh melakukan sesuatu perbuatan, mendatangkan kesan, manfaat dan mudarat.

Boleh mendekatkan mereka kepada Allah, boleh mendatangkan sesuatu kebaikan bagi setiap orang yang datang meminta pertolongan kepada tuhan-tuhan mereka dan boleh mendatangkan mudarat kepada setiap orang yang berpaling daripadanya.

Semua kepercayaan ini menafikan tauhid rububiah.

Dari sudut naqal

Nas-nas syariat telah menetapkan secara jelas, terang dan qatie (pasti) bahawa orang-orang musyrik pada setiap masa dan tempat tidak akan mampu bertauhid dengan tauhid rububiah semata-mata dan menafikan uluhiah, tetapi mereka semua adalah orang-orang musyrik pada uluhiah dan rububiah sekali gus kerana kedua-duanya adalah perkara yang satu.

Sebagai contoh, kami sebutkan di sini dalil-dalilnya:

1. Firman Allah SWT dalam menceritakan tentang orang-orang musyrik ketika ditanya tentang rahsia sebenar mereka menyembah berhala selain Allah: Tidaklah kami (orang musyrik) menyembah atau memuja mereka (sembahan-sembahan mereka), melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah dengan sedamping-dampingnya. (al-Zumar: 3)

Ayat ini jelas menunjukkan, orang-orang kafir beriktikad bahawa patung-patung mereka mempunyai kekuasaan untuk memberikan hidayah kepada mereka dan mendekatkan diri mereka kepada Allah. Maksudnya sembahan mereka itu mampu memberi kesan dengan sendirinya.

Maka di manakah letaknya tauhid mereka bagi tauhid rububiah?!.

2. Nabi Hud a.s ketika berdialog dengan orang musyrikin tentang patung-patung sembahan mereka dan ketika diterangkan kepada mereka bahawa sembahan mereka itu tidak berkuasa untuk mendatangkan sesuatu kepada mereka melainkan Allah, mereka berkata: Kami hanya boleh berkata bahawa setengah daripada tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu). (Hud: 54)

Kepercayaan bahawa sembahan-sembahan mereka boleh mendatangkan kesan yang buruk, jelas menunjukkan bahawa orang musyrik mempercayai pada sembahan-sembahan mereka ada kekuasaan yang boleh melakukan sesuatu perbuatan dan mendatangkan kesan mudarat atau manfaat.

Ini menunjukkan bahawa orang musyrikin tidakpun mengesakan Allah pada rububiah tetapi menyekutukan Allah dengan tuhan-tuhan yang lain pada tauhid uluhiah. Iktikad mereka ini ternyata berbeza dengan apa yang dipercayai oleh pendokong bidaah pembahagian tauhid.

3. Allah SWT berfirman: Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai tuhannya (Rabb) kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: Tuhanku (Rabbi) ialah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Ia (Namrud) menjawab: Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan. (al-Baqarah: 258)

Berdasarkan ayat di atas jelas dapat dilihat, Namrud telah mendakwa dirinya dengan perkara yang berkaitan tentang rububiah seperti mempunyai kerajaan, kekuasaan dan pemerintahan.

Dia juga mempercayai mempunyai keistimewaan rububiah yang boleh menghidupkan dan mematikan. Kemudian selepas itu, dia berdebat dengan Nabi Ibrahim a.s tentang Rabbnya (tuhan yang menjadikan) dan bukan tentang Ilahnya (tuhan yang disembah) sebagaimana penggunaan istilah dalam ayat tersebut.

Adakah selepas penjelasan ini, masih ada yang mendakwa: Sesungguhnya Namrud adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah dan Nabi Ibrahim a.s telah datang kepadanya untuk mengajak kepada tauhid uluhiah sahaja?

4. Allah SWT telah berfirman dalam menceritakan tentang Nabi Yusuf a.s yang mengajak sahabat-sahabat sepenjaranya kepada akidah tauhid yang suci:

Wahai sahabat sepenjaraku berdua! Memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan (Arbaab – jama’ kepada Rabb) yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa? (Yusuf: 39)

Marilah bersama saya memerhatikan perkataan Nabi Yusof a.s ketika mempersoalkan tentang Tuhan yang lebih baik disembah: “Adakah Tuhan-tuhan (Arbab) yang bercerai-berai. Beliau tidak berkata: “Tuhan-tuhan (Aalihah – jamak kepada Ilah).”

Adalah jelas bahawa penghuni penjara menyembah lebih daripada satu Rabb dan lebih daripada satu Ilah.

Adakah masih boleh diterima oleh akal yang sejahtera, jika dikatakan: Orang-orang musyrikin bertauhid dengan tauhid rububiah dan Nabi Yusuf datang kepada mereka dengan membawa tauhid uluhiah sahaja? Maha Suci Allah, ini adalah suatu pembohongan yang besar!.

5. Allah SWT berfirman menceritakan tentang Firaun yang berkata ketika menakut-nakutkan kaumnya agar mereka mentaatinya. Firaun berkata: Akulah tuhan kamu (Rabbukum) yang tertinggi. (al-Naazi’aat: 24)

Demikianlah dakwaan rububiah Firaun bagi dirinya dan dia cuba mengagamakan kaumnya dengan rububiah ini. Maka dari sini, tidakkah ada langsung sebesar zarah perasaan salah bagi mereka yang mendakwa bahawa Firaun dan kaumnya bertauhid dengan tauhid rububiah dan telah datang kepada mereka Musa Kalimullah a.s dengan tauhid uluhiah sahaja?

Di ketika yang lain, Firaun juga mendakwa uluhiah bagi dirinya ketika dia berkata: Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui adanya bagi kamu sebarang tuhan (ilah) selain daripadaku. (al-Qasas: 38)

Ini menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan di antara rububiah dan uluhiah. Oleh kerana itu, sesiapa yang mendakwa dirinya dengan rububiah, maka dia telah menjadikan dirinya Ilah (sebagai tuhan yang patut disembah).

Sesiapa yang mendakwa dirinya dengan uluhiah pula, maka dia telah menjadikan dirinya sebagai Rabb (tuhan yang menciptakan, mentadbir dan sebagainya) bagi orang lain.

6. Mayat-mayat yang berada di dalam kubur, masing-masing tidak ditanya tentang uluhiah dan tauhidnya, tetapi malaikat akan bertanya kepadanya: Man Rabbuka? (Siapakah rab (tuhan) kamu?”

Sekiranya tauhid itu seperti yang dipercayai oleh Ibnu Taimiyyah, yang mana semua manusia di sisinya beriktikad dengan tauhid rububiah, kenapakah soalan malaikat ini masih diperlukan dan bermanfaat?

Ini menunjukkan bahawa dakwaan Ibnu Taimiyyah adalah tidak benar dan palsu semata-mata.

Kesimpulannya, orang yang syirik pada uluhiahnya dikira sebagai syirik pada rububiahnya juga. Sesiapa yang syirik pada rububiah maka dia juga adalah syirik pada uluhiah.

Minggu hadapan kami akan mengemukakan dalil-dalil mereka dan jawapan ulama tentang kesamaran dakwaan mereka. Benarlah perumpamaan Quraniy bahawa, sesungguhnya rumah yang paling rapuh ialah rumah labah-labah. (al-Ankabut: 41). Wallahu a’lam.

Artikel asal


Kerja Rumah Pelajar 1AA

December 14, 2009

Alhamdulillah, saya dah uploadkan kerja rumah untuk semua pelajar 1AA 2009. Sila rujuk laman ini (klik sini) untuk kerja rumah. Sila maklumkan kepada kawan-kawan yang lain.

Terima kasih.


Majlis Aqiqah Sofiyyah alHusna

December 13, 2009

Alhamdulillah, pada 13/12/2009 yang lalu telah berlangsung majlis aqiqah anak saya yang ke empat Sofiyyah alHusna bt Khairul Azua bersama dengan sepupunya Mohd Hazib Najmi bin Md Nasir.

Majlis dimulai dengan bacaan Sirah Nabi ad Daibaie dan tahlil.

Majlis diteruskan pula majlis berandoi yang diketuai oleh Pn Rahilah bt Anuar (Nenek nya la tu)

Untuk rakaman peristiwa dan rakaman video, klik disini…….


Qasidah Ya Sayyidi Ya Rasulullah

December 12, 2009

Qasidah yang indah, dengar dan hayati…….

Ya Saiyidi Ya Rasulullah
Ya Manlahul Jahu Indallah
Innal Musi Ina Qod Ja U
Lizanbi Yastaghfirunallah

Wahai Tuhan Allah Taala
Hidupkan Hati Dengan Cahaya
Cahaya NabiĀ  Nabi Yang Mulia
Nabi Pemberi Penuntun Syurga

Ya Allah Wahai Tuhan Hamba
Pandanglah Dengan Ridho Semata
Curahkan Rahmat Di Alam Dunia
Agar Bertemu Nabi Yang Mulia

Ya Allah Tuhan Dirikan Hamba
Dengan Ridho Mu Yang Maha Mulia
Jangan Kau Lirik Sebagai Hamba
Hamba Yang Jauh Dari Cahaya

Di Hari Ini Kami Berdoa
Mengucap Nama Nabi Yang Mulia
Bersihkan Hati Dari Dosa
Jauhkan Diri Dari Neraka

Syair Ini Syair Tsaqolain
Cucunya Nabi Hassan Dan Hussien
Keturunan Nya Tertera Di Quran
Pengikutnya Dibenci Syaiton

Solawat Salam Padamu Nabi
Besama Kluargamu Yang Suci
Dan Sahabatmu Yang Pemberani
Membelamu Sampai Mati

Dengan Bismillah Kami Awali
Alhamdulillah Kami Akhiri
Puji Zat Allah Yang Maha Tinggi
Wahai Ilahi Allahu Robbi