Tasauf hakiki dan penyelewengan

Arkib Utusan Malaysia 29/6/2010
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

ORANG yang mati syahid di medan perang adalah antara tiga golongan yang Rasulullah SAW menceritakan, orang yang terawal dihisab di Akhirat kelak. – Gambar hiasan



SEDAR atau tidak sudah masuk minggu ke sembilan kita berbicara tentang tasauf di ruang ini. Dalam siri terakhir ini kita akan cuba menyorot beberapa fahaman dan ajaran yang menyeleweng yang dinisbahkan kepada tasauf selain cuba merumuskan pandangan kita tentang tasauf.

Walaupun dalam siri tulisan yang lepas kita telah cuba mempertahankan tasauf sebagai cabang dan dimensi asasi kepada agama kita, kumpulan dan ajaran tasauf yang sesat atau menyeleweng daripada batasan agama sebenar.

Pepatah Melayu menyebut, “bumi manakah yang tak ditimpa hujan”? Adakah wujud di sana, mana-mana kumpulan atau aliran sama ada bersifat agama atau tidak, yang terpelihara sepenuhnya daripada sebarang penyelewengan?

Cuma, harus difahami, dalam paksi-paksi ajaran agama Islam iaitu akidah, syariah dan tasauf, penyelewengan yang berlaku bukannya berpunca daripada kelemahan ajaran tersebut tetapi kerana kelemahan mereka yang cuba mengamalkan dan menghayatinya.

Di samping kelemahan jenis ini yang benar-benar berlaku, tasauf turut cuba ditempelkan dengan pelbagai gambaran kelemahan palsu oleh kelompok yang anti-Islam atau anti-tasauf.

Tuduhan-tuduhan liar

Selain penyelewengan sebenar yang timbul akibat kelemahan para pengamalnya, tasauf dan tarekat turut menjadi sasaran pelbagai tuduhan dan kempen memburuk-buruknya daripada mereka yang memusuhinya dari dalam dan luar lingkungan Islam.

Para kuffar memusuhinya kerana mereka memang anti atau jahil dengan Islam. Sebahagian mereka juga menyerangnya kerana tahu bahawa inilah antara pusat kekuatan Islam. Mereka tahu daripada kajian dan sejarah bahawa tasauf turut menjadi inspirasi jihad menentang musuh-musuh Islam.

Tasauf juga menjadi sasaran beberapa aliran pinggiran dalam Islam yang melihat dan tarekat sebagai saingan dan penghalang untuk mereka menjadi lebih dominan dalam masyarakat seperti aliran ekstrem liberal juga aliran ekstrem modernis.

Pendokong ekstrem liberal memang suka kepada Islam yang serba bebas dan tidak terikat dengan ikatan-ikatan termasuklah ikatan-ikatan syariat, akidah dan tasauf.

Kelompok ekstrem modenis umumnya cuba mengajak umat membebaskan diri daripada mengikuti warisan khazanah ilmu-ilmu tradisional Islam termasuklah dalam tasauf. Mereka sering bercakap atas nama pembaharuan agama, tajdid, pembebasan daripada taklid dan kejumudan, kembali kepada al-Quran, sunnah dan sebagainya.

Ancaman terhadap tasauf daripada kelompok ekstrem modenis ini lebih berbahaya. Sebabnya mereka berbahasa dan berpakaian agama sehingga masyarakat awam mudah terkeliru. Hakikatnya, dalam mereka mengajak masyarakat tidak bertaklid kepada khazanah tradisi Islam mereka sebenarnya menjerumuskan masyarakat kepada suatu taklid yang lebih sempit iaitu bertaqlid kepada tokoh-tokoh dan aliran mereka.

Akhirnya masyarakat diajak mengikuti beberapa kerat tokoh yang mereka sanjung secara berlebihan terutamanya Ibnu Taymiyyah, Ibnu al-Qayyim dan kemudiannya Muhammad Ibn Abdul Wahhab dan para pendokong nya. Pandangan Ibnu Taymiyyah dan Ibnu Al-Qayyim yang mengkritik tasauf mereka angkat tanpa menonjolkan sisi lain yang tidak menyebelahi kecenderungan mereka.

Sebenarnya Ibnu Taymiyyah dan Ibnu al-Qayyim menghalakan kritikan mereka terhadap beberapa kumpulan pengamal tasauf pada zaman mereka dan bukannya terhadap tasauf itu sendiri. Mereka tidaklah menafikan tasauf sebagai cabang penting dan disiplin ilmu asasi dalam agama.

Buktinya Ibnu Taymiyyah sendiri menganggap dirinya sebagai seorang pengikut tarekat Qadiriyyah. Makam beliau di Damaskus, Syria juga merupakan kawasan makam yang diwakafkan khusus untuk para Sufi. Jilid sepuluh dan sebelas daripada himpunan fatwanya juga menghuraikan tasauf.

Murid beliau Ibnu al-Qayyim pula menulis kitab Madarij al-Salikin dalam tiga jilid yang merupakan huraian kepada kitab Manazil al-Saa’irin karya Imam al-Harawi berkaitan dengan makam-makam dalam perjalanan rohani kesufian.

Kesimpulannya, dua tokoh ulama kontroversial ini pun tidaklah terlalu menolak atau anti-tasauf seperti sikap segolongan mereka yang sering menjuarakan tokoh-tokoh ini.

Sesudah kita membahaskan dan memperjelaskan tentang tasauf dan pelbagai persoalan yang timbul berkaitannya hanya satu kesimpulan yang paling sesuai dibuat iaitu marilah kita semua kembali kepada tasauf.

Kita kembali menghargai dan mengenali tasauf sebagai cabang dan dimensi asasi daripada agama kita yang kita cintai ini. Kita kembali memahami kedudukannya yang sangat harmonis dengan syariat, akidah dan semua prinsip dan ajaran Islam yang lain.

Paling penting, marilah kita sama-sama menghayatinya dalam kehidupan kita agar agama kita benar-benar terselamat daripada virus-virus dalaman yang boleh menghancurkan kehidupan beragama kita tanpa kita sedari.

Hakikatnya, ketakwaan itu berpengkalan di hati, seperti pesanan Nabi SAW. Jika agama dan ketakwaan itu sudah tewas di pangkalannya sendiri apakah ia dapat ditegakkan di tempat dan tahap yang lain?

Akhirnya, dibawakan hadis yang menjadi antara induk dalam memahami kedudukan tasauf dan sering dipetik untuk tujuan itu. Imam Muslim dalam Sahihnya meriwayatkan, Rasulullah SAW ada menceritakan tentang tiga orang yang terawal dihisab di Akhirat kelak. Seorang yang mati syahid di medan perang, seorang ulama yang mengajar ilmu agama dan al-Quran dan seorang hartawan yang dermawan di jalan agama.

Akhirnya ketiga-tiga mereka diseret di atas muka masing-masing dan dihumban ke neraka kerana kegagalan mereka menjaga keikhlasan, mensucikan niat dan hati masing-masing dalam kehebatan berjuang di jalan Allah.

Semoga Allah SWT mengurniakan keikhlasan dan mensucikan hati-hati kita dari segala yang tidak disukai-Nya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: