Bahasa dan kekeliruan fahaman

August 25, 2010

ARKIB Utusan Malaysia : 24/08/2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

sebagai makhluk kita perlu patuh kepada setiap perintah allah.


PADA minggu ini perbahasan disambung tentang membetulkan kefahaman dalam persoalan agama dengan merujuk kepada kekeliruan yang timbul akibat tabiat bahasa dan istilah.

Dalam memahami agama, kita tidak dapat mengelak daripada berurusan dengan bahasa sebagai perantaraan menyampaikan makna.

Kadang-kadang suatu istilah atau ungkapan boleh membawa lebih daripada satu makna. Memilih makna yang salah akan membawa salah faham dalam agama.

Inilah tabiat semula jadi bahasa-bahasa dunia termasuklah Bahasa Arab sebagai bahasa utama Islam.

Menyedari hal ini, Al-Allamah Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid Alawi al-Maliki turut membahaskan aspek ini dalam kitab Mafahim yang menjadi sumber siri tulisan ini.

Antara ciri Bahasa Arab yang penting difahami adalah ciri Majaz iaitu pemindahan makna lafaz atau kata daripada maknanya yang asli, kepada makna yang lain. Tidak diragui lagi, bahawa majaz ‘aqli sering digunakan, baik dalam al-Quran mahupun hadis. Contohnya, firman Allah SWT: Dan Yaghuth dan Ya’uuq serta Nasr (nama-nama berhala). Dan sesungguhnya mereka itu telah menyesatkan kebanyakan (daripada umat manusia). (Nuh: 23-24).

Menyandarkan kesesatan kepada berhala-berhala itu adalah majaz ‘aqli dalam ayat ini kerana berhala-berhala hanyalah menjadi sebab bagi sesatnya manusia. Sementara, yang memberikan hidayah atau menyesatkan sebenarnya hanyalah Allah SWT.

Dalam hadis Nabi SAW juga banyak ungkapan yang mengandungi majaz ‘aqli, yang hanya dapat diketahui oleh orang yang ahli dalam ilmu Balaghah. Bagi orang yang mengerti ungkapan haqiqi (asli) dan majazi (kiasan), tentu tidak memerlukan penjelasan yang panjang lebar berkenaan dengan masalah ini.

Sebaliknya, mereka yang tidak berkemahiran atau dikelabui oleh kecenderungan yang sesat akan hanya berpegang dengan makna zahir atau makna yang sesuai dengan kecenderungan mereka.

Sebagai contoh, ada yang beranggapan bahawa al-Quran itu makhluk (diciptakan) dengan berpegang kepada zahir ayat: Sesungguhnya Kami jadikan kitab itu sebagai al-Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab. (al-Zukhruf:3)

Ada pula yang menyatakan bahawa manusia itu mempunyai kekuasaan (qudrat) sendiri dalam menentukan nasibnya, dengan bersandarkan ayat: Maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan dosa). (al-Syura: 30)

Begitu juga, ada yang berkeyakinan bahawa manusia itu dipaksa (majbur) oleh Allah SWT melakukan perbuatannya, dengan dalil: Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu! (al-Saaffaat: 96)

Inilah antara salah faham aliran-aliran menyeleweng Mu’tazilah, Qadariyah dan Jabbariyyah.

Aliran yang benar, Ahlus Sunnah wal Jama’ah memahami nas-nas ini dengan mengambil kira sifat majazi bahasa.

Berbeza dengan golongan Qadariyah yang beranggapan bahawa perbuatan manusia itu adalah hasil perbuatannya sendiri – Ahlus Sunnah meyakini bahawa perbuatan manusia itu dicipta oleh Allah SWT berdasarkan firman-Nya dalam surah (al-Saaffaat: 96) di atas. Meskipun demikian, manusia juga boleh disifatkan dengan kekuasaan atau kemampuan untuk berbuat; yang disebut sebagai iktisab (berusaha menentukan pilihan), sebagaimana firman Allah: Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (al-Baqarah: 286)

Serta ayat-ayat lain yang jelas menunjukkan penyandaran kasab (usaha) kepada hamba Allah, iaitu ayat yang menegaskan bahawa manusia pun mempunyai bahagian dalam perbuatannya. Ini berbeza dengan fahaman golongan Jabbariyyah.

Kesimpulan yang boleh diambil ialah orang yang menyekutukan Allah SWT dengan yang lain dalam mencipta dan memberikan kesan kepada sesuatu, maka dia adalah musyrik, sama ada yang disekutukannya itu benda mati atau pun hidup, seorang nabi atau selainnya.

Tetapi, sesiapa mempercayai bahawa makhluk itu hanya sebagai sebab, Allah sahajalah yang menciptakan penyebab itu untuk terciptanya akibat, dan hanya Allah Pembuatnya yang sebenar tanpa ada sekutu bagi-Nya, maka dia adalah Mukmin, sekalipun dia tersalah pada sangkaannya bahawa suatu yang bukan sebab (perantara) diakuinya sebagai sebab kerana kekeliruannya hanya pada sebab, bukan pada penyebab; Yang Mencipta dan Mengatur, hanyalah Allah SWT.

Memahami isu ini, marilah kita bersikap lebih sensitif terhadap pelbagai makna dan maksud di sebalik kata-kata dan ungkapan yang boleh menatijahkan hukum yang berbeza. Menentukan persoalan ini pula memerlukan kepakaran dan pengkhususan yang bukan sedikit. Biarkanlah urusan ini di tangan para ahlinya dari kalangan ulama muktabar kerana mereka yang tidak berkeahlian tidak akan dipertanggungjawabkan oleh Tuhan melebihi tahap kemampuan mereka.

Advertisements

Selamat Menyambut Penggal Kedua Ramadhan

August 21, 2010

Kami mengucapkan kepada muslimin dan muslimat selamat menyambut penggal kedua ramadhan yang menjanjikan keampunan dari Allah..

Ramadhan Kareeem.


Memahami khususiat Nabi SAW

August 20, 2010

ARKIB Utusan Malaysia : 17/08/2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Kitab al-Quran khas diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. – Gambar hiasan


ALHAMDULILLAH, kita sekali lagi dipanjangkan umur untuk bertemu dengan Ramadan kali ini. Semoga ia benar-benar menjadi gerbang ketakwaan bagi kita semua. Dalam ruangan ini, kita masih dalam usaha meluruskan fahaman terhadap kedudukan Nabi SAW yang tetap sebagai makhluk walaupun dikurniakan pelbagai keistimewaan oleh al-Khaliq SWT. Perlu diingat bahawa pengisian ilmu dan kefahaman adalah juga termasuk bentuk ibadah yang utama sama ada di bulan Ramadan atau selainnya.

Ramai manusia yang tersilap dalam memahami beberapa perkara yang menjadi persamaan di antara hak Khaliq dan hak makhluk. Mereka menyangka bahawa dengan menisbahkan atau menyandarkan hak Allah kepada makhluk merupakan perbuatan syirik.

Antara perkara yang menimbulkan permasalahan ini ialah sebahagian daripada khususiat Nabi SAW (Keistimewaan yang Allah kurniakan kepada Rasulullah SAW sahaja) yang tidak difahami dengan sebenar-benarnya.

Mereka menganggap bahawa menyifatkan Nabi SAW dengan sifat-sifat istimewa yang dikurniakan oleh Allah tersebut bermakna menisbahkan Baginda SAW dengan sifat-sifat ketuhanan.

Ini jelas merupakan suatu kejahilan kerana Allah SWT Yang Maha Suci dan Maha Tinggi berhak memberikan apa saja kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya, tanpa ada yang mewajibkan atau memaksa-Nya. Dia juga berhak mengurniakan dan memuliakan sesiapa sahaja yang hendak diberikan kemuliaan, dinaikkan kedudukan dan dizahirkan kelebihannya atas manusia yang lain. Ini bukan merupakan pencabutan atau pencabulan hak-hak Allah SWT sebagai pentadbir alam dan juga sifat-sifat-Nya sebagai Tuhan Yang disembah. Hak-hak Allah dan sifat-sifat-Nya tersebut tetap terpelihara sesuai dengan maqam-Nya.

Apabila seseorang makhluk itu mempunyai sifat-sifat istimewa tersebut, maka sifat-sifat itu hanya sekadar yang bersesuaian dengan kemanusiaannya yang diciptakan terbatas dan diperolehi dengan izin, kurniaan dan kehendak-Nya. Bukan dengan kekuatan makhluk ataupun pentadbiran atau perintahnya kerana makhluk itu lemah dan tidak berkuasa memberi manfaat dan menolak kemudaratan daripada dirinya sendiri, begitu juga mematikan atau menghidupkan. Telah berapa banyak keistimewaan yang menunjukkan bahawa ia adalah hak Allah, tetapi Dia berkenan mengurniakan kepada Nabi-Nya, Muhammad SAW dan nabi-nabi yang lain. Dalam pada itu, tidaklah diangkat darjat mereka hingga sampai ke maqam ketuhanan atau menjadi sekutu Allah.

Kesimpulannya, janganlah kita cepat menyalahkan perbuatan menyifatkan Nabi SAW dengan beberapa kelebihan yang tinggi kerana ia tidaklah bererti kita menyamakan atau menyekutukan Allah SWT dengan Nabi SAW. Sesungguhnya bahasa dan istilah perlulah ditunaikan haknya dan difahami dengan betul. Insya-Allah, kita akan menyambung tentang peranan penggunaan bahasa dalam konteks ini di minggu hadapan.


RAMADHAN KAREEM .. !!

August 12, 2010

Selamat menyambut ramadhan kami ucapkan kepada muslimin dan muslimat.

Semoga Ramadhan kali ini memberikan pengertian yang amat besar kepada kita.

Salam Ramadhan.


Memahami status Nabi SAW

August 11, 2010

ARKIB Utusan Malaysia: 10/08/2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

KITA telah membayangkan di siri yang lepas bagaimana ada sesetengah mereka yang keliru fahamannya cenderung menghukum sesat terhadap perbuatan memuliakan dan mengagungkan Nabi SAW. Seolah-olah perbuatan itu sudah mengkaburkan perbezaan antara Allah SWT sebagai Khaliq dan Nabi SAW sebagai makhluk.

Maka pengarang kitab Mafahim menyambung bicaranya dengan memperjelaskan fahaman sebenar dalam soal ini. Beliau menegaskan bahawa pegangan kita adalah Baginda SAW juga adalah manusia yang harus ke atas Baginda SAW apa yang harus ke atas manusia yang lain seperti mengalami suatu hal yang mendatang dan ditimpa penyakit; yang tidak mengurangi kewibawaan Baginda SAW sebagai seorang Nabi SAW dan tidak melarikan orang daripadanya.

Benarlah apa yang dikatakan oleh seorang ahli akidah: “Para Nabi harus pada hak mereka itu ditimpa suatu perkara yang lazim menimpa manusia biasa, dengan tidak mengurangi (kewibawaan mereka), seperti ditimpa sakit yang ringan.” Nabi Muhammad SAW adalah seorang hamba Allah SWT yang tidak memiliki kekuasaan pada dirinya untuk menolak sebarang kemudaratan atau mendatangkan manfaat, mematikan atau menghidupkan atau membangkitkan, kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah SAW.

Allah SWT berfirman: Katakanlah, Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui (perkara-perkara) yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman. (al A’raaf: 188)

Kita faham bahawa status Nabi SAW sebagai makhluk dan hamba. Malah Sifat ubudiyyah (perhambaan) adalah semulia-mulia sifat Baginda SAW. Oleh kerana itu, Baginda SAW sendiri berbangga dengannya sebagaimana sabdanya: “Sesungguhnya aku hanyalah seorang hamba Allah.”

Allah SWT telah menyifatkan Baginda SAW sebagai hamba-Nya, pada setinggi-tinggi maqam (ketika Allah menceritakan anugerah Israk kepada Baginda SAW) sebagaimana firman-Nya: Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya… (Al Israa’: 1) Begitu juga firman Allah: Dan sesungguhnya tatkala hamba Allah (Nabi Muhammad SAW) berdiri mengerjakan ibadat kepada-Nya, mereka (golongan Jin) hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya. (al-Jin: 19)

Walaupun kita tahu Rasulullah SAW itu sifatnya manusia tetapi kita wajib membezakan Baginda SAW daripada manusia umum; dengan menyebut keistimewaannya yang tersendiri dan biografinya yang terpuji.

Tuntutan ini bukan sahaja khusus terhadap Rasulullah SAW, bahkan terhadap nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain supaya pandangan kita terhadap mereka bersesuaian dan layak dengan maqam dan kedudukan mereka.

Jika kita memandang mereka hanya sebagai manusia biasa semata-mata, tanpa mengaitkannya dengan ciri-ciri khusus atau istimewa mereka sebagai nabi dan rasul, maka kita telah terjerumus ke dalam tradisi dan sikap orang-orang Jahiliah.

Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menyentuh hal tersebut. Di antaranya, perkataan kaum Nabi Nuh AS mengenai nabi mereka sebagaimana yang dihikayatkan oleh Allah di dalam firman-Nya: Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir daripada kaumnya, “Kami tidak memandangmu (wahai Nuh!) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami. (Hud: 27)

Ayat yang lain ialah perkataan kaum Nabi Musa dan Harun mengenai nabi mereka sebagaimana yang dihikayatkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran: Sehingga mereka berkata (dengan angkuhnya), “Patutkah kita beriman kepada dua manusia seperti kita, sedangkan kaum mereka (Bani Israil) menjadi orang-orang suruhan kita?” (al-Mu’minun: 47). Hal yang sama berlaku pada Nabi Soleh dan Nabi Syu’aib (al-Syuaara: 154,185)

Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh orang-orang musyrik terhadap Nabi Muhammad SAW. Mereka hanya memandang Baginda SAW sebagai manusia biasa, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah SWT dalam Kitab-Nya:

Dan mereka pula berkata, Mengapa Rasul ini makan, minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)? (al-Furqaan, 7)


Perbezaan maqam Khaliq dan makhluk

August 5, 2010

ARKIB Utusan Malaysia : 03/08/2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

PADA minggu ini kita menyambung perbahasan tentang larangan mengkafirkan dan memusuhi sesama Islam ke satu tahap lagi dengan menegaskan perbezaan antara sikap kita terhadap khaliq dan makhluk.

Penjelasan ini perlu kerana sehingga hari ini ada aliran yang cenderung mempertikaikan keIslaman orang lain semata-mata kerana mereka mengagungkan dan membesarkan Nabi SAW dan para awliya’.

Aliran ini berpegang bahawa dengan melakukan hal tersebut maka kemurnian dan kesucian tauhid seseorang akan rosak. Mereka cukup taksub dalam soal-soal ini. Seolah-olah inilah kemungkaran paling besar yang harus diutamakan pembanterasannya.

Maka dalam sambungan bicaranya dalam kitab rujukan kita Mafahim Yajib an Tusohhah, Al-Allamah Dr.Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki menegaskan bahawa membezakan di antara maqam (kedudukan) Khaliq (Allah) dan makhluk ialah batas pemisah di antara keimanan dan kekufuran. Beliau menegaskan bahawa, kita mempercayai, bahawa sesiapa yang mencampuradukkan antara kedua-dua maqam ini, maka ia menjadi kafir. Semoga dilindungi Allah SAW.

Sememangnya, setiap maqam mempunyai hak-haknya yang khusus. Tetapi, terdapat dalam bab ini, berkaitan dengan peribadi Nabi Muhammad SAW dan keistimewaannya, kita juga perlu membezakan antara baginda dengan manusia yang lain dan meninggikan martabat Rasulullah SAW berbanding manusia yang lain.

Kadang kala, perkara ini mengelirukan dan samar-samar di sisi pengetahuan sebahagian manusia lantaran kesentengan akal, kelemahan fikiran, kesempitan penelitian dan kesalahan fahaman mereka.

Lantas, mereka secara terburu-buru menghukum kafir orang yang membicarakan keistimewaan dan kelebihan Rasulullah SAW kerana menganggap golongan yang melakukan perbuatan sedemikian telah mencampuradukkan antara maqam Khaliq dan makhluk dan mengangkat darjat Nabi SAW sama tarafnya dengan darjat Tuhan SWT! Sesungguhnya kami berlepas diri daripada anggapan sedemikian.

Sesungguhnya kami dengan kurniaan Allah, mengetahui apa yang wajib bagi Allah SWT dan apa yang wajib bagi Rasul-Nya SAW. Kami juga mengetahui apa yang hanya menjadi hak Allah SWT dan apa yang menjadi hak Rasulullah SAW, tanpa melampaui batas dan berlebih-lebihan hingga sampai mensifatkannya dengan sifat-sifat ketuhanan yang khusus bagi Allah; baik sebagai Tuhan yang disembah (ilah), mahupun sebagai Tuhan yang mengurus alam ini (rabb). Misalnya, sifat menghalang, mengurniakan, memberi manfaat dan kemudaratan secara sendiri bukan dengan kekuasaan Allah. Kita tidak mensifatkan Rasulullah SAW sebagai Zat yang Maha Berkuasa, Maha Kuat, Maha Menciptakan, Raja Yang Maha Kuasa, Yang Maha Mentadbir Alam, Yang Maha Agung, Yang Maha Berhak disucikan dan disembah dengan pelbagai cara ibadah, dalam pelbagai keadaan dan tingkatan.

Adapun Ghuluw, jika merujuk berlebih-lebihan dalam kesungguhan mencintai Nabi Muhammad SAW, mentaatinya dan tertambat hati dengannya, adalah soal isu yang berbeza dan merupakan sikap yang disukai dan dituntut oleh Nabi Muhammad SAW, sebagaimana yang disebut di dalam pelbagai ayat al-Quran dan hadis dalam bab tersebut.

Mengagungkan Nabi Muhammad SAW dengan selain daripada sifat-sifat ketuhanan, sama sekali tidak mengandungi unsur-unsur kekufuran atau kesyirikan. Bahkan, perbuatan tersebut merupakan ketaatan dan pendekatan diri kepada Allah yang sangat tinggi dan agung. Demikian juga halnya, mengagungkan orang-orang yang diagungkan oleh Allah , seperti para Nabi dan Rasul AS, para malaikat, ahli siddiqin, syuhada dan orang-orang soleh.

Allah SWT berfirman: Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat taqwa hati orang Mukmin. (al-Hajj:32)

Itulah yang wajib dipatuhi; dan siapa yang menghormati hukum-hukum Allah, maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya. (al-Hajj:30)

Di antara syiar Allah ialah Kaabah yang diagungkan, Hajar Aswad dan Makam Ibrahim AS. Semuanya itu adalah batu-batu yang diperintahkan oleh Allah kepada kita supaya mengagungkannya, dengan cara melakukan tawaf di sekeliling Kaabah, mengusap Rukun Yamani, mencium Hajar al Aswad dan melakukan solat di belakang Makam Nabi Ibrahim AS.

Kita juga diperintahkan supaya berhenti untuk berdoa di tempat-tempat yang mustajab, di pintu Kaabah dan Multazam. Ketika melakukan semua perkara tersebut, kami tidak berniat menyembah selain Allah SWT. Bahkan, kami tidak beriktikad adanya sesuatu yang memberi kesan selain kekuasaan Allah SWT; baik dalam memberi manfaat, mahupun mudarat. Tidak ada sedikitpun daripada semuanya itu terjadi kerana pengaruh dan kekuasaan seseorang melainkan kerana kekuasaan Allah SWT.

Jika kita boleh menerima untuk melakukan semua itu terhadap benda-benda yang tidak bernyawa semata-mata kerana memenuhi perintah Allah SWT, maka apakah Nabi SAW dan para pewarisnya di kalangan para awliya’ yang hakiki tidak termasuk dalam maksud syiar-syiar agama Allah yang perlu disanjung dan dibesarkan?

// <![CDATA[//