Tajdid: Antara hakikat dan dakwaan

Utusan Malaysia 27/04/2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Perjuangan membebaskan Masjidil Aqsa memerlukan tajdid dari segi strategi.



DI dalam dua tulisan yang lepas, kita telah cuba menjelaskan tentang falsafah dan kerangka sebenar tajdid atau pembaharuan. Tajdid dan para mujaddid, iaitu mereka yang memikul amanah tugas ini, adalah sangat mulia dan terpuji kedudukannya dalam Islam jika betul fahamnya dan kena tempatnya.

Dengan penjelasan itu diharap kita akan lebih mudah membezakan antara yang tajdid hakiki dan yang sekadar dakwaan. Memang ada mereka yang mengaku dan mendakwa sebagai penggerak tajdid sedangkan tajdid yang hakiki tiada kena mengena dengan apa yang mereka gerakkan.

Bak kata pepatah Arab, “Mereka semua mendakwa sebagai kekasih Laila sedangkan Laila jauh daripada semua dakwaan itu!”.

Tanpa kerangka faham yang betul, orang awam sukar hendak membezakan antara yang hakiki dan yang dakwaan kerana kedua-duanya menggunakan ayat al-Quran dan hadis dalam hujah mereka.

Kadang-kadang ayat dan hadis yang sama yang dipetik walaupun berlainan syarahnya. Pepatah mengenai Laila di atas pun biasa dipetik oleh mujaddid dakwaan untuk menyerang mereka yang tidak sefahaman!

Oleh itu untuk keselamatan agama mereka, sangat penting bagi masyarakat awam berpegang dengan petua bagi membezakan tajdid hakiki dan dakwaan.

Antara petuanya yang utama adalah, memeriksa apa yang jadi sasaran tajdid seseorang atau sesuatu aliran. Adakah yang mahu ditajdidkan itu ajaran dan prinsip Islam itu sendiri atau fikrah dan sikap orang, masyarakat, negara dan umat Islam.

Kita tegaskan bahawa prinsip dan ajaran Islam itu tidak perlu lagi ditajdid terutamanya oleh kita yang bukannya berada di kurun-kurun awal Islam. Para mujaddid hakiki daripada generasi terawal pun bukannya mengubah isi dan hakikat Islam itu tetapi sebaliknya sekadar menyusun, memperkemaskan istilah, menghuraikan ajaran Islam.

Segalanya tidak lari daripada kerangka dan isi asal Islam. Selebihnya mereka berperanan memurnikan kefahaman dan penghayatan umat di zaman mereka terhadap ajaran dan prinsip Islam.

Hari ini, tajdid yang boleh dibenarkan terhadap ajaran Islam sepatutnya terbatas terhadap usaha memperelokkan penjelasan dan persembahannya, agar jelas kaitannya dan kesesuaiannya dengan realiti semasa.

Orang, masyarakat dan umat Islam itu sendiri sering lalai dan lupa. Ramai yang tidak menghayati, memahami dan mengamalkan Islam sama ada kerana kejahilan, kedegilan atau kelalaian.

Maka tugas utama para mujaddid zaman ini adalah mendidik yang jahil, mengingatkan yang lalai manakala yang degil perlu dicegah dan diajar. Mujaddid hakiki tidak sepatutnya lebih mengelirukan mereka yang jahil dan lalai dengan fahaman dan persoalan ranting yang hakikatnya tidak menambah atau mengurangkan keimanan dan ketakwaan mereka.

Tidak sepatutnya menyibukkan diri dan orang lain untuk mengulangkaji, mempertikai dan merombak apa yang sudah baku dan muktabar dalam ajaran Islam. Mereka yang lalai dan degil perlu didakwah dengan akhlak Nabawi.

Amal bakti mujaddid silam

Sebagai tolok perbandingan dan piawai tajdid hakiki, mari kita sorot amal bakti tokoh-tokoh mujaddid silam yang disepakati oleh majoriti umat.

Di kurun pertama, Khalifah Umar bin Abdul Aziz (61-101H) telah muncul sebagai model yang hidup ketakwaan, keikhlasan, amanah dan zuhud, setelah nilai-nilai ini dikelabui pemerintahan sebelum beliau.

Beliau turut memurnikan kembali fahaman dan akidah umat antaranya dengan menghentikan amalan menghina dan merendahkan Saidina Ali dan Ahlul Bayt termasuk dalam khutbah-khutbah.

Beliau juga mengasaskan dan menggalakkan usaha menghimpunkan hadis-hadis Nabi SAW. Zaman beliau turut dicorakkan kehadiran tokoh-tokoh ulama Tabiin seperti Imam Hassan al-Basri (21-101H) yang muncul sebagai antara penjaga akidah dan akhlak umat serta merupakan antara Imam pengasas cabang ilmu akhlak dan kerohanian tasauf dalam Islam.

Zaman berikutnya, menyaksikan kemunculan Imam-imam Mazhab fiqh, Imam Abu Hanifah (80-150H), Imam Malik (94-179H), Imam al-Shafie (150-204H), Imam Ahmad bin Hanbal (164-241H), yang akhirnya mengasaskan sistem syariah dan hukum-hakam yang tersusun dan kemas. Suatu struktur fiqh yang bersifat kepelbagaian dalam kesatuan yang harmoni.

Apabila umat Islam diuji dengan pelbagai fahaman dan akidah yang menyesatkan, muncullah Imam Abu al-Hassan al-Ash’ari (260-324H) memurnikan fahaman dan menyusun kaedah-kaedah akidah Islam.

Tugas yang hampir sama ditunaikan kemudiannya dengan penuh amanah oleh al-Imam al-Ghazali (450-505H) yang turut meninggalkan sumbangan penting dalam perkembangan cabang-cabang ilmu tasauf, usul al-fiqh dan fiqh. Di era yang sama muncul tokoh kerohanian tasauf-tarekat, Sheikh Abd. Qadir al-Jilani (470-561H) yang menyambung usaha Imam al-Ghazali di bidang ini dan menyusun pendekatan keruhanian yang lebih khusus.

Kesan dan keberkatan usaha pemurnian akidah-syariah-akhlak generasi al-Ghazali dan al-Jilani ini akhirnya memungkinkan kemunculan mujaddid Mujahid, Sultan Salahuddin al-Ayyubi (w.589H) dan generasinya yang telah berjaya mengembalikan al-Aqsa ke tangan umat Islam.

Bersumberkan acuan Islam

Jika diteliti dengan insaf, amal-bakti para tokoh mujaddid silam ini adalah semuanya bersumberkan acuan Islam yang diasaskan oleh Rasulullah SAW. Mereka kemudiannya menghurai, menyusun dan memperkembangkannya lagi agar lebih mudah dihayati dan diamalkan oleh umat.

Usaha mereka jelas bersifat suatu kesinambungan atas warisan generasi sebelumnya dan bukannya membina sesudah meruntuhkan warisan yang ada.

Dapat diperhatikan juga para mujaddid ini berjalan atas jalan rahmat dan kasih sayang sesama Islam tetapi tegas terhadap para kuffar dan kekufuran serta ajaran yang jelas-jelas bertentangan dengan Islam.

Berbanding dengan warisan para mujaddid silam, kita lihat ada tokoh dan gerakan yang mendakwa tajdid hakikatnya membawa fahaman yang ganjil dan bertentangan dengan asas al-Quran dan sunnah yang diperjuangkan oleh warisan para mujaddid silam.

Oleh itu, mereka terpaksa berusaha terlebih dahulu meruntuhkan warisan para mujaddid silam agar fahaman mereka dapat dibina di atas runtuhan itu. Maka kita perhatikan gerakan ‘tajdid’ mereka penuh dengan mesej yang mempertikaikan dan menimbulkan keraguan terhadap warisan para mujaddid silam.

Jika para mujaddid silam menumpukan persoalan yang lebih mustahak dan membina, para pendakwa tajdid masih berkeras mahu mentajdidkan fahaman terhadap persoalan bidaah dan khilafiah dalam Islam. Berkeras mempertikaikan kemurnian akidah dan kesahihan amalan majoriti umat Islam.

Kita bukannya mahu mempertikaikan niat dan semangat mereka, tetapi niat dan semangat tinggi tanpa panduan ilmu yang benarlah yang telah mendorong puak Khawarij berkeras menentang Saidina Ali dan majoriti umat di zamannya.

Dalam kita memperjuangkan agama, kita semua juga harus sentiasa mewaspadai datangnya penyakit hati seperti ujub, takbur, hubbul jah dan hubbul riyasah (sukakan kedudukan dan pangkat).

Penyakit-penyakit hati ini menjadi fokus ilmu tasauf tetapi masalahnya, para pendakwa tajdid ini rata-rata cenderung anti atau meminggirkan tasauf!

Kita menasihatkan masyarakat awam agar amat berhati-hati dengan mereka yang mendakwa tajdid di kalangan kita. Perhatikanlah betul-betul apa isu-isu yang diperjuangkan.

Analisalah sikap mereka terhadap warisan ilmu para mujaddid silam. Istikharahkanlah dan syurakanlah dengan orang-orang yang lebih mengkhusus dan lebih berpengalaman.

Janganlah mudah menerima momokan dan ditakutkan ‘hantu’ tarekat, tasauf, taklid buta, taksub mazhab, bidaah, khurafat dan sebagainya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: